LEBIH 600 peserta telah dari seluruh negara sertai Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC) 2024 baru-baru ini.

Acara larian lasak yang sudah memasuki edisi keempat di sini dianjurkan oleh Terengganu Backpackers dengan kerjasama TAC Discovery Centre, serta mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Terengganu, Tourism Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan rakan-rakan penaja tempatan.

Acara ini diadakan di Taman Eko-Rimba Chemerong, Dungun, yang menjadi salah satu produk pelancongan penting dan mercu tanda utama daerah tersebut.

Pengarah acara MBCC 2024, Muhamad Rafi Kori, memaklumkan bahawa sebanyak enam kategori dipertandingkan dalam larian kali ini, termasuk kategori Cengal (terbuka lelaki), Meranti (tertutup lelaki), dan Cengal (veteran lelaki), selain beberapa kategori lain yang melibatkan peserta wanita.

Antara pemenang yang berada di pentas utama selepas acara berakhir.

Menurut Rafi, penganjuran MBCC tahun ini berjalan dengan sangat lancar tanpa sebarang insiden serius atau musibah yang menjejaskan acara.

“Syukur dengan cuaca yang menyebelahi kami. Terima kasih kepada pasukan Bomba, JPAM, Jabatan Kesihatan serta krewyang berdedikasi di setiap check point trek. Penghargaan juga kepada imam dan jemaah masjid yang telah mengadakan solat hajat dan berdoa demi kelancaran acara ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Bacaan doa selamat sebelum acara larian bermula.

Rafi turut menzahirkan rasa syukur dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat, termasuk agensi-agensi terlibat, penaja, malim gunung, komuniti kampung, serta para peserta.

“Kejayaan MBCC 2024 ini tidak akan tercapai tanpa sokongan padu semua pihak, dan atas faktor-faktor positif inilah, acara ini akan diteruskan di masa hadapan,” katanya.

Penganjuran yang berjaya ini bukan sahaja mengukuhkan lagi reputasi Dungun sebagai destinasi sukan ekstrem, tetapi juga merangsang pembangunan sektor pelancongan sukan (sports tourism) di Terengganu serta di Malaysia.