PELUANG melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 masih terbuka buat pelayar negara, Khairulnizam Mohd Affendy, namun dia harus sekurang-kurangnya mengekalkan kedudukannya ranking kelayakan ketika ini, sebelum beraksi di Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis dari 20 hingga 27 April ini, yang menjadi tiket terakhir kelayakan.

Semalam, atlet berpengalaman itu menamatkan saingan ILCA 7 Piala Dunia di Mallorca, Sepanyol, pada kedudukan ke-16 daripada 193 pelayar.

Menurutnya, pencapaian itu satu perkembangan yang baik menjelang kejohanan di Perancis.

“Kalau diikutkan ketika ini, saya berada di tahap terbaik. InsyaAllah, cuma ada sedikit yang perlu diperbaiki lagi untuk memastikan semua berada di tahap terbaik sebelum kejohanan itu,” kata Khairulnizam ketika dihubungi.

Perlumbaan di Sepanyol itu, Khairulnizam menamatkan saingan di kedudukan ke-16 daripada 193 peserta dengan rata-rata nama di kedudukan lebih atas daripadanya sudah pun melayakkan diri ke Paris 2024.

Mengulas mengenai saingan di Hyeres nanti, Khairulnizam berkata, dia perlu memburu penamat dalam kelompok tiga negara terbaik dan mengharapkan prestasi pada ketika ini dapat dibawa pada kejohanan berkenaan nanti.

“Kalau diikutkan pencabar dari negara yang belum layak itu, saya berada di kedudukan teratas dalam kejohanan ini (di Sepanyol). Jadi saya harap di Last Chance Regatta nanti dapat kekal prestasi seperti ini.

“Tak mustahil untuk layak sekiranya dapat kekalkan prestasi seperti ini dan saya perlu memperbaiki kelemahan seperti membuat keputusan dan juga (taktikal) di permulaan perlumbaan,” katanya.

Untuk rekod, Khairulnizam memburu pentas Olimpik keempatnya di Paris.

Temasya Olimpik pertamanya adalah di London 2012.