JAGUH lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly muncul juara dunia kali keempat selepas memenangi pingat emas Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun.

Kemenangan itu menjadi tonik tambahan buatnya menjelang Sukan Paralimpik Paris 2024.

Atlet berusia 27 tahun itu mencatat lopmpatan terbaik musim ini dengan jarak 7.30 meter (m) untuk meraih emas keempatnya bagi kategori T20 (kecacatan intelektual).

Sebelum ini, Latif turut memenangi emas pada edisi 2015 di Doha, London (2017) dan Paris (2023).

Pingat perak acara itu diraih atlet Ecuador, Espinoza yang mencatat 6.95m manakala Jhon Sebastian Obando Asprilla dari Colombia gangsa dengan catatan 6.84m.

Seorang lagi atlet negara yang turut bersaing, Zulkifly Abdullah mengakhiri saingan di tempat ke-12 dengan catatan 6.02m.

Latif yang juga pemegang rekod dunia dengan catatan 7.64m, berkata, kejayaan kali ini meningkatkan tahap keyakinan dalam misi untuk memburu emas ketiga berturut-turut di Paralimpik Paris dari 28 Ogos hingga 9 September.

“Saya memang yakin dapat mempertahankan emas (Kejohanan Dunia) dan gembira kerana dapat menampilkan prestasi terbaik.

“Meskipun empat lompatan saya batal tetapi ia tidak memberi kesan kerana saya konsisten memenangi pingat dalam lima Kejohanan Dunia yang saya sertai sejak edisi 2015 di Doha.

“Fokus utama saya sekarang adalah untuk memenangi emas ketiga berturut-rutu di Sukan Paralimpik dan berharap dapat memperbaharui rekod dunia,” kata Latif yang turut meraih perak pada penampilan di Kejohanan Dunia 2019 di Dubai.

Sebelum ini, dua lagi atlet negara turut menyumbang emas pada Kejohanan Dunia kali ini iaitu jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli (T20) dan Nazmi Nasri (lompat jauh T37).

Eddy Bernard menyumbang perak dalam acara 400m T44 manakala Wong Kar Gee (lompat jauh T12) dan Ammar Aiman (400m T20) meraih gangsa di Kobe.

Selain Latif, tiga lagi yang sudah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris adalah Ziyad, Nazmi dan Eddy.