ATLET lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly tidak gentar dengan apa-apa cabaran yang akan diharungi di Sukan Paralimpik Paris nanti.

Beliau yang berasal dari Perlis itu juga merupakan juara bertahan pingat emas Paralimpik sebanyak dua kali berturut-turut bagi acara lompat jauh T20 (kecacatan intelek) kelihatan bersedia untuk mempertahankan pingat tersebut meskipun mengakui agak sukar untuk melakukannya.

“Setakat ini Alhamdulilah, persiapan saya kini telah mencecah 98 peratus, keseluruhan badan saya dah bersedia dimana saya mampu melompat dan berlari dan yang penting saya tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Saya dah berkobar-kobar untuk memberi saingan di Paris sebab ini merupakan penampilan ketiga saya di Temasya Sukan Paralimpik.

Ketua Kontijen Malaysia, Datuk Subramaniam Raman Nair melawat atlet olahraga di MSN Bukit Jalil semalam

“Tekanan itu memang ada sebab nak mempertahankan emas yang saya menang sebanyak dua kali berturut-turut itu memang susah. Ia lebih susah untuk mempertahankan berbanding nak bersaing untuk menang,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

“Antara pencabar terdekat saya ialah atlet dari Rusia iaitu Matvei Iakushev. Saya tak pernah jumpa beliau dalam mana-mana kejohanan namun beliau kini berada dalam ranking no 1 dunia bagi lompat jauh T20 menurut IPC (International Paralympic Committee).

“Sebelum ini ranking saya dalam IPC ialah no 2 atau no 3 jadi itu tidak menjadi satu faktor kerana saya hanya fokus dalam kejohanan besar sahaja. Saya tidak takut, lagi kuat pihak lawan saya lagi seronok untuk saya nak bersaing.

“Saya punya sasaran ialah pecah rekod dunia, itu sasaran utama saya. Dapat pecah rekod dunia, pingat emas saya dapat bawa kembali ke Malaysia,” tambahnya lagi.

Atlet berusia 27 tahun itu merupakan pemenang pingat emas bagi acara lompat jauh T20 di Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 serta merupakan juara dunia sebanyak empat kali dalam acara yang sama.