KEJAYAAN Kuala Lumpur City FC muncul juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan adalah berdasarkan faktor latihan penyudah intensif yang dilakukan ketika sesi latihan namun bagi pengendalinya Bojan Hodak masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
Bojan yang ditemui dalam sidang media selepas perlawanan mengakui bukan mudah untuk mengatasi Perak FC kerana dibarisi pemain-pemain muda yang sentiasa berlari dan memberikan tekanan serta berharap kemenangan ini akan menjadi semangat buat para pemainnya.
Dia juga turut berpuas hati dengan persiapan pra musim pasukan dan akan melakukan beberapa lagi perubahan bagi memastikan segala kesilapan tidak berlaku sebelum memulakan aksi Liga Super 2023.
Champions of #PialaMenteriWP2023 🥇🏆#KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/m52BsLpUYA
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) February 4, 2023
“Ianya adalah satu perlawanan yang sukar kerana pemain kami masih belum cukup cergas berbeza dengan Perak yang sudah memulakan latihan pra musim lebih awal. Bukan mudah menentang mereka kerana ramai pemain muda yang sentiasa berlari dan saya dapat rasakan banyak pasukan akan menghadapi masalah apabila berhadapan Perak musim ini.
“Kami sudah memulakn lebih latihan penyudah dan ianya menunjukkan hasil positif pada perlawanan ini tetapi kami masih gagal menyempurnakan beberapa peluang dan penyerang kami perlu masuk ke kawasan lawan tetapi saya percaya gol akan tiba.
“Walaupun hanya menjaringkan penalti, ianya cukup bagus buat Caion. Dia masih tidak dapat membaca gerakan rakan sepasukan kerana dia baru menyertai kami tetapi saya percaya dia akan menjadi lebih baik selepas beberapa perlawanan.
“Setakat ini tahap berpuas hati pada persiapan pasukan adalah 60 peratus. Keputusan 3-0 kelihatan seperti keputusan yang bagus tetapi barisan pertahanan kami masih perlu diperketatkan dan juga penyudah dan hantaran akhir masih perlu diperbaiki menjelang aksi pertama liga,” katanya.
Kuala Lumpur City FC muncul juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 selepas menewaskan Perak FC 3-0 hasil jaringan Herlison Caion, Paulo Josue dan Giancarlo Gallifuoco dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.