LATIHAN khas menggunakan simulasi video akan digunakan bagi membantu meningkatkan prestasi beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, kaedah sama juga akan digunakan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah.
Menurut pakar beregu itu, latihan simulasi video itu adalah program tambahan yang akan dilaksanakan dua kali seminggu.
“Berdasarkan keputusan dalam siri kejohanan di Eropah baru-baru ini, sudah tentu kami kecewa. Dengan status pemain seperti mereka, ia adalah keputusan yang tidak boleh diterima.
“Selepas berbincang dengan mereka, kami percaya simulasi video ini akan membantu mereka mengenal pasti dengan lebih baik perkara yang memerlukan penambahbaikan. Mereka akan menonton video mereka sendiri, dan kami akan menangani kesilapan itu dengan segera, bersama-sama.
“Kami sudah bermula pada Isnin lalu dan akan melihat hasilnya selepas Kejohanan Badminton Asia (25 hingga 30 April), jika perlu melakukannya lebih daripada dua kali seminggu,” kata Rexy.
Aaron-Wooi Yik yang ketika ini menghuni ranking nombor dua dunia mencipta sejarah apabila menjadi wakil Malaysia pertama muncul juara dunia tahun lalu manakala Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita pertama negara merangkul gelaran Terbuka Perancis.
Rexy yang juga bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996, berkata, daripada berasa tertekan dengan kejayaan lalu, adalah lebih baik kedua-dua pasangan itu memikirkan bagaimana untuk melonjakkan semula prestasi mereka.
“Isunya sekarang adalah pemain kita sukar menerima hakikat ini dan mereka berasa tertekan apabila memikirkannya. Untuk mereka, mereka tidak mahu diingatkan tentang masa lalu. Namun, apa yang kita mahu lakukan adalah sebaliknya.
“Kami mahu pemain ini melihat kejayaan masa lalu mereka, menerima bahawa mereka sudah melakukan yang baik dan bermotivasi untuk melakukan yang lebih baik. Itulah yang kami mahukan,” kata Rexy.