KETUA jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah menyifatkan perlawanan pramusim menentang Selangor FC esok sebagai medan terbaik untuk mendapatkan gambaran kesebelasan terbaik untuk musim ini.
Pasukan The Bos Gaurus memiliki pramusim yang positif setakat ini, mencatat dua kemenangan dan satu seri setakat ini.
Dengan saingan Liga Super 2024/25 yang semakin menghampiri ke minggu pembukaan, Yusri pasti mahukan anak buahnya untuk terus tampil cemerlang untuk membentuk kesebelasan terbaik menjelang permulaan liga.
“Setakat ini persiapan kami menjelang perlawanan esok menentang pasukan Selangor berjalan dengan cukup baik.
“Sememangnya saya ingin melihat tahap kefahaman pemain terhadap strategi yang diterapkan dan pada masa yang sama ingin mempersiapkan pasukan ke arah mencari kesebelasan terbaik,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Yusri yang pernah beraksi untuk Perlis dan MPPJ juga mengatakan bahawa dua pemain import Perak FC, Jesper Nyholm dan Sunday Afolaabi masih lagi di dalam senarai kecederaan.
Menurutnya, kecederaan yang dialami oleh kedua-dua pemain tersebut masih belum pulih sepenuhnya, dan mereka masih dalam proses pemulihan yang berterusan.
Katanya, kehadiran mereka di padang perlawanan akan bergantung kepada perkembangan pemulihan kecederaan masing-masing.
Malah, dia sedikit kecewa apabila kecederaan Jesper dari awal pramusim sehingga kini membuatkannya rasa kerugian kerana tidak dapat menampilkan kesebelasan utama yang diinginkan.
Perak FC akan bertemu Selangor FC di Ipoh pada Sabtu untuk aksi persahabatan pramusim sebelum memulakan saingan lig berdepan Terengganu FC di Kuala Terengganu pada 11 Mei.