PENGENDALI skuad Bawah 17 Tahun Kebangsaan, Osmera Omaro menegaskan sasaran layak ke Piala Dunia Fifa B-17 tahun akan terletak pada keutamaan pemain sama ada mahu menganggapnya sebagai tekanan mahupun semangat.
Malaysia berpeluang bermain di Piala Dunia sekiranya berjaya layak ke separuh akhir Kejohanan Piala Asia AFC B-17 tahun di Bangkok, Thailand.
Osmera menganggap ianya akan menjadi sesuatu yang mengecewakan sekiranya mereka gagal berbuat demikian.
Dia yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Bangkok berkata peluang tetap ada untuk layak walaupun sedar ianya bukan tugas yang mudah.
Skuad Harimau Malaya B-17 berlepas ke Bangkok, Thailand untuk Kejohanan Piala Asia AFC B-17.#AFCAsiaCupU17#HarimauMalayaB17 pic.twitter.com/r72G27nqc4
— Flash Sukan (@FlashSukan) June 12, 2023
“Kita harap kita dapat buat yang terbaik dan paling maksimum. Harapan yang ada pada pasukan ini jika tidak layak ke Piala Dunia akan menjadi sesuatu yang mengecewakan walaupun secara realistik ianya bukan perkara yang paling mudah. Peluang adalah 50-50 kerana kita boleh tetapi bukan mudah.
“Harapan untuk layak ke Piala Dunia bukan sahaja memberikan tekanan tetapi juga semangat buat pemain. Ianya 2 dalam 1 dan terpulang pada pemain sebenarnya mereka letak yang mana jadi keutamaan. Jika tekanan kita akan susah tetapi jika semangat, ia akan jadi satu pendorong buat mereka,” katanya.
Walaupun menyedari kejohanan ini adalah kejohanan besar dan harapan penyokong yang tinggi, Osmera tidak meletakkan sebarang tekanan kepada anak buahnya untuk beraksi.
“Untuk pasukan kita, pemain-pemain ini sudah lama tidak bermain kerana pandemik Covid-19 dan tiba-tiba terkejut dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan. Kita sudah sampai ke Piala Asia pun sudah cukup bagus.
“Pemain yang sering letak tekanan tinggi pada diri sendiri. Bagi saya, apa yang saya tekankan adalah tahap permainan dan kemudian keputusan. Kita boleh main permainan terbaik kita, tetapi kita kalah dan ada kalanya kita main tidak baik kita boleh menang,” tambahnya.
Selain itu Osmera juga mengetahui peluang untuk pasukannya memperoleh keputusan positif dalam kejohanan ini sangat cerah sekiranya para pemain mampu mempamerkan permainan sebenar dan mengurangkan kesilapan yang sering dilakukan.
“Saya harap pemain-pemain dapat matang sikit kerana mereka ini datang dari dua akademi dan mereka sudah terbiasa dengan falsafah tersendiri dan kadang-kadang pemain ini terikat dengan falsafah tersebut.
“Mereka kena faham yang mereka berada dalam pasukan kebangsaan dan jika mereka dapat baiki kematangan itu ia akan jadi lebih baik dan jika mereka mampu bermain pada tahap sebenar, kita mampu dapat keputusan positif selain mengelak dari melakukan kesilapan-kesilapan kecil yang mampu menghukum pasukan,” katanya.
Harimau Malaya B-17 yang diundi dalam Kumpulan A akan membuka kempen menentang Yemen pada 15 Jun diikuti perlawanan kedua berdepan Thailand pada 18 Jun dan perlawanan terakhir menentang Laos pada 21 Jun dan meletakkan sasaran mara ke separuh akhir.