BARU tahu, layak untuk beraksi ke pentas tertinggi seperti Sukan Olimpik, adalah satu tekanan.

Situasi itulah yang dihadapi perenang remaja negara, Tan Roixin setelah mendapat tahu dipilih mewakili negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, atas tiket wild card.

Menurutnya, sebaik diberitahu mengenai perkara itu pada April lalu, dia berasa teruja namun mula dihimpit tekanan.

Tan Rouxin (kiri) dan Khiew Hoe Yean (kanan) bergambar bersama CDM Sukan Olimpik PAris, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Pada mulanya saya teruja kerana pada usia semuda ini, dapat mewakili negara ke Olimpik Paris dan mahu melakukan yang terbaik.

“Dari awal dulu saya berasa tertekan sangat tetapi memberitahu kepada diri supaya yakin dan berani untuk bersaing di Olimpik.

“Waktu saya tertekan, jurulatih banyak membantu menghilangkan tekanan, saya diminta bertenang dan berfikiran positif,” kata Rouxin, ketika menerima lawatan daripada Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Perenang berusia 18 tahun itu berkata, kini dia menggunakan terapi bagi menghilangkan tekanan mengikut kaedahnya sendiri seperti mendengar muzik, tidur awal, melakukan senaman Yoga dan berkata kepada diri sendiri bahawa dia sudah menjalani latihan sehabis baik.

Perenang kelahiran Johor itu mengakui yang dia tidak pernah terfikir mampu melayakkan diri ke temasya berkenaan.

“Malah tahun ini juga saya tidak terfikir akan melayakkan diri, sehinggalah saya mendapat slot ini, sangat terkejut,” katanya .

Jelasnya, sehingga sekarang dia masih tertanya-tanya betulkah mendapat peluang ke Paris dan seperti berada di awang-awangan.

Tan Rouxin menerima anugerah Atlet Terbaik Wanita (Olahragawati) Sukma ke-20, daripada lagenda Skuasy Dunia Dato Nicol David.

“Sampai sekarang saya masih tidak percaya dapat pergi ke Olimpik, memang kurang yakin tapi jurulatih beritahu saya juga mempunyai kekuatan tersendiri.

“Saya rasa ia satu pengalaman indah buat saya dapat pergi ke Olimpik. Saya bangga dapat wakil Malaysia dan berjanji memberikan yang terbaik,” katanya yang beraksi dalam acara 100 meter kuak dada.

Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur 2022 itu, berkata: “Saya berharap dapat memecahkan catatan peribadi terbaik di Paris. Catatan itu 1 minit 11.2 saat (s), yang dilakukan dua tahun lalu. Manakala catatan terbaik musim ini pula 1:11.4s ketika dilakukan pada Mac atau April lalu.

Selain Rouxin turut layak ke Olimpik dalam acara renang ialah Khiew Hoe Yean yang akan beraksi dalam acara 400m gaya bebas.