SATU program khas buat penerjun tunggal negara ke Olimpik Paris, akan disusun, bagi mengubah situasi daripada sekadar bertanding kepada prospek pingat.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MS), Andy Low berkata, latihan khas buat penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises akan membabitkan latihan di luar negara.

Katanya, antara negara dicadangkan untuk penerjun berusia 19 tahun itu berlatih, termasuk di Amerika Syarikat, Mexico dan Singapura.

Bertrand Rhodict Lises (kanan) muncul satu-satunnya penerjun negara yang layak beraksi di Sukan Olimpik Paris.

“Kami merancang satu program latihan khusus untuk Bertrand bagi membolehkan dia menampilkan prestasi terbaik di Olimpik Paris.

“Ada kemungkinan kita akan menghantar dia menjalani latihan di luar negara. Namun, kita perlu lihat juga negara yang kita nak hantar itu yang mana kita mahu jurulatih di negara itu boleh melatih dia.

“Tiada guna kita hantar dia tetapi jurulatih di sana tiada masa untuk melatihnya. Itu yang kita sedang kaji sekarang.

“Bertrand sememangnya bersedia untuk mengikuti program latihan yang agresif dan sekiranya semua berjalan seperti yang dirancang, dia bersedia untuk melakukannya,” kata Andy.

Bertrand Roddict mempamerkan aksi cemerlang di Fukuoka, Jepun, sekali gus meraih slot secara merit ke Olimpik Paris 2024. -Pix Agensi

Bertrand menjadi penerjun tunggal negara yang berjaya menempah tiket ke Paris menerusi acara 10 meter (m) platform individu, selepas memperoleh slot itu ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lalu.

Dalam pada itu, Andy berkata, pihaknya berasakan Bertrand layak disenaraikan ke dalam program Road to Gold (RTG) susulan pencapaiannya layak ke Olimpik Paris.

Ketika ini, hanya dua penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri yang berada dalam RTG sejak ia diperkenalkan pada Mac tahun lalu tetapi kedua-duanya tidak layak ke Paris.

Persekutuan Renang Malaysia serahkan nasib Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri kepada jawatankausa RTG.

“Seharusnya Bertrand disenaraikan (dalam RTG), saya difahamkan Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat pada hujung bulan ini dan biar mereka yang putuskan.

“Namun, sekiranya masih tidak disenaraikan, kita akan buat rayuan,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Pandelela dan Nur Dhabitah dalam RTG, Andy, berkata: “Sama ada mereka digugurkan atau sebaliknya, Jawatankuasa RTG yang akan putuskan.”