KUALA Lumpur City FC meneruskan misi mereka untuk memantapkan pasukan apabila mengumumkan seorang lagi pemain import baharu.
Pemain sayap dari Croatia, Lazar Sajcic diumumkan sebagai pemain import baharu pasukan The City Boys untuk musim 2024/25.
Perpindahan masuk bekas pemain FC Hegelmann diumumkan menerusi media sosial pasukan itu.
“Anda menanti cukup lama, perkenalkan pemain baru The City Boys! Selamat datang ke ibu negara, pemain perancang Croatia, Lazar Sajcic!” kata kelab dalam hantaran media sosial itu.
Sajcic mampu beraksi di posisi sayap kiri dan kanan sekali gus menjadi salah satu aset utama buat pasukan KL City FC di bahagian serangan.
Beliau juga turut turun berlatih bersama pasukan The City Boys meskipun baru sahaja tiba di bumi Malaysia semalam.
Beliau akan menjadi sebahagian daripada empat pemain import yang akan bermain bersama pasukan KL City FC, dengan tiga lagi pemain import ialah Giancarlo Gallifuoco, Patrick Reichelt dan Adrijan Rudovic.
Peminat KL City FC mempunyai peluang untuk melihat pemain kesayangan mereka apabila pasukan itu akan turun beraksi menentang Negeri Sembilan FC bagi menentukan pemenang Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024.