PERANCANG Johor Darul Ta’zim (JDT) Leandro Velasquez sekali lagi membuktikan dirinya sebagai Mr Reliable buat JDT apabila sekali lagi aksi hebat berjaya membantu JDT mencipta satu lagi sejarah kelab selatan tanah air itu.

JDT berjaya menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam aksi penuh dramatik sehingga saat terakhir sekaligus muncul juara Kumpulan I dan layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC.

Sudah beberapa kali Leandro muncul sebagai penyelamat buat JDT dan aksi petang Sabtu adalah satu lagi ‘normal day at the office’ oleh pemain berasal dari Argentina berusia 32 tahun itu.

Kali ini sepakan percuma kaki kirinya berjaya menewaskan penjaga gol antarabangsa Korea Selatan, Jo Hyeon-woo untuk gol pembukaan JDT sebelum aksi cemerlang di bahagian tengah memastikan JDT muncul sebagai pemenang.

Aksi bersemangat Leandro pada setiap perlawanan sememangnya tidak boleh dinafikan sejak dari kehadiran secara pinjamannya ke JDT pada 2015 dan kembali semula secara tetap pada 2019.

Jaringan Leandro berjaya membantu JDT menjulang Piala AFC apabila menewaskan Istiklol FC di Dushanbe sekaligus muncul pasukan Asia Timur pertama menjuarai kejohanan Tier kedua kelab Asia itu.

Pada kejohanan Liga Juara-Juara AFC musim 2021 pula, jaringan Leandro ketika menentang Ratchaburi FC memastikan JDT meraih kemenangan penting dalam peringkat kumpulan ketika itu.

Selain itu, dalam aksi domestik, Leandro juga banyak melakukan bantuan jaringan buat penyerang JDT dan juga menjaringkan gol yang menarik menerusi sepakan percuma dalam aksi Liga Super dan Piala Malaysia.

Leandro mendapat pujian daripada ketua jurulatih, Benjamin Mora kerana aksi meyakinkannya selain sikap profesional yang membantu pemain muda seperti Hong Wan untuk mengatasi perasaan gerun ketika beraksi.

Dia pastinya akan diletakkan sebagai salah seorang legenda dalam sejarah JDT oleh pengurusan dan penyokong JDT seperti mana Luciano Figueroa sebelum ini.