KEJOHANAN Pestabola Merdeka 2024 bakal menobatkan juara baharu selepas juara bertahan, Tajikistan tewas dalam perlawanan pertama ke atas Lebanon 1-0 dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Lebanon yang mahu menebus kekalahan ketika Piala Asia di Qatar Januari lalu berjaya melaksanakan misi itu dengan berjaya mempertahankan gol awal yang dijaringkan pada babak pertama.

Skuad kendalian Miodrag Radulovic yang dibarisi dua bekas pemain Liga Malaysia – Rabih Ataya dan Khalil Khamis mendahului pada minit ke-13 selepas Jihad Ayoub menanduk masuk hasil sepakan sudut Ataya yang pernah bermain untuk UiTM FC.

Tidak banyak serangan berbahaya dilakukan kedua-dua pasukan dengan cuaca panas dilihat sedikit menggangu tempo perlawanan hingga bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah.

Perlawanan juga kerap terhenti ekoran pemain yang mengalami kecederaan hingga babak pertama berakhir kekal dengan keputusan 1-0 memihak kepada Lebanon.

Keadaan tidak banyak berubah pada babak kedua dengan Tajikistan dilihat sedikit agresif untuk mencari gol penyamaan namun hampa dengan kegagalan memecah benteng pertahanan pasukan di tangga ke-116 dunia itu.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Lebanon berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan menunggu pemenang antara Malaysia dan Filipina untuk merebut kejuaraan.

Tajikistan pula terpaksa akur melepaskan takhta kejuaraan dan kini akan bersaing pada perlawanan penentuan tempat ketiga pada sebelah petang 8 September.