PERLUMBAAN berbasikal Peak Attack KOM 2022 sebuah acara baru yang bakal menempa kalender kejohanan berbasikal negara. Perlumbaan julung kali ini bakal membuka peluang kepada pelumba pendakian menawan bukit Genting Highlands pada Ahad.
Kejohanan ini merupakan siri perlumbaan berbasikal yang berteraskan skil dan teknik yang menekankan aspek pecutan, ketahanan dan pendakian.
Skil ini dijadikan pihak penganjur untuk menganjurkan kejohanan iaitu Kejohanan Peak Attack Criterium bagi perlumbaan pecutan, Peak Attack Gran Fondo bagi skil ketahanan ‘endurance’ dan Kejohanan Peak Attack KOM untuk skil pendakian bukit.
Ia juga adalah rentetan kepada kejohanan yang dilangsungkan pada September lalu di Litar Speedway Subang Jaya.
Lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara yang akan berlumba dalam 10 kategori iaitu terbuka, elit, lelaki terbuka, master, junior master, lelaki elit, wanita terbuka, elit, korporat dan MTB.
Perlumbaan bermula di Kuala Kubu Bharu akan memabwa para pelumba ke kawasan hutan hijau Selagor berlatarbelakangkan hutan simpan dan pemandangan cantik, lalu menerusi bandar Batang Kali sebelum memulakan pendakian getir sejauh 20 kilometer ke garisan penamat di Gohtong Jaya.
Hadiah wang tunai disediakan hampir mencecah RM20,000 dan para peserta yang berjaya menghabiskan pendakian akan menerima medal khas selain berpeluang memenangi cabutan bertuah menarik barangan basikal dan pakaian tajaan Bike&Beans, Amaniz Cycling Team dan MVR Racing.
Acara ini adalah salah satu daripada usaha kerajaan membantu merancakkan industri pelancongan negara malap ketika pandemik Covid-19.