BELUMPUN memasuki aksi suku akhir, hampir 3 bilion ‘digital engagement’ direkodkan sepanjang kempen Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung di Doha, Qatar.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John berkata, peningkatan orang ramai dan penyokong yang memperkatakan tentang bola sepak di media sosial menunjukkan trend positif dari hari ke hari.

“Setakat ke hari ini, hingga perlawanan terakhir Pusingan 16 semalam, engagement media sosial dah cecah 2.77 bilion rekod akses tayangan berdasarkan rekod AFC seperti Twitter, Instagram, Facebook dan semuanya.

“Tetapi, jumlah diperolehi ini adalah pada pengetahuan pasukan AFC. Kita belum tahu pula negara lain, contohnya di China kerana kita tiada akses dan Amerika Syarikat pula ada sendiri media sosial yang mungkin memperkatakan mengenai Piala Asia dan kita tiada data mengenainya.

“Ini semua akan diketahui selepas berakhirnya kejohana rasmi pada 10 Februari,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Ujar Windsor, statistik dikeluarkan ini merujuk kepada liputan rasmi media digital AFC yang telah disediakan dalam 13 bahasa melalui 11 platform, iaitu Facebook, Instagram, X, Tiktok, Snapchat, Telegram, Threads, YouTube, Weibo, Douyin dan Toutiao.

Saingan suku akhir akan bermula esok dan data itu besar kemungkinan jumlahnya lebih tinggi memandangkan pasukan gergasi seperti Korea Selatan, Jepun dan Iran masih bersaing dan memiliki ratusan ribu penyokong dalam dan luar stadium serta pengikut di media sosial.