KIRA-KIRA 700 peserta Mount Berembun Climbathon Challenge (CBL) bakal menawan puncak Gunung Berembun pada 14 September 2024 di Taman Eko-Rimba Chemerong, Dungun,Terengganu.
Pengarah Acara CBL, Muhamad Rafi Kori berkata penganjuran itu diadakan bertujuan mengajak orang ramai bagi membudayakan aktiviti bersukan yang cergas melalui elemen pendakian gunung.
Katanya, acara ini menjadi platform untuk mempromosikan pelbagai keindahan dan keunikan hutan lipur, air terjun dan gunung ganang yang ada di Negeri Terengganu dengan mempromosikan pelancongan sukan ‘Sports Tourism’.
“Program BCL ini adalah acara berkonsep ‘Trail Run/Perlumbaan gunung yang dihidupkan semula dalam membawa elemen penghayatan alam semulajadi dan ‘Sport & adventure tourism’ di Dungun, Terengganu.
“Gunung Berembun yang berketinggian 1,109 meter dari paras laut semestinya merupakan destinasi gunung Terengganu yang menjadi tumpuan para pendaki di Malaysia.
“Di kaki gunungnya pula sentiasa menjadi tarikan pengunjung untuk aktiviti rekreasi keluarga terutamanya disetiap hujung minggu,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.
Untuk rekod, MBCC 2024 yang dianjurkan Terengganu Backpackers bersama TAC Discovery Centre dengan sokongan Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan negeri ini dijayakan semula sepertimana pernah dianjurkan pada 2011 hingga 2013.
Tambah Muhamad Rafi, program tersebut menawarkan tiga kategori utama sejauh 17 kilometer (KM) melibatkan penyertaan terbuka lelaki dan wanita.
Antaranya, veteran lelaki dan wanita (Kategori Cengal) serta tertutup Terengganu lelaki dan wanita (Kategori Meranti) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,400.
Manakala, satu lagi kategori sebagai ‘Fun Run’ dikenali Kategori Nyatuh sejauh 5 KM dan 2 KM ditawarkan untuk peserta yang ingin merasai kemeriahan larian dalam suasana secara santai.
“Pelepasan CBL yang melibatkan pelbagai kategori akan berlangsung pada 7.30 pagi, 14 September 2024,” katanya.
Melalui acara ini katanya, impak ekonomi pelancongan akan terus bermanfaat kepada penduduk dan industri pelancongan setempat di daerah Dungun.
“Sama ada melibatkan hotel dan rumah penginapan, restoran, kedai kedai runcit, Pulau Perhentian dan sebagainya.
“Secara tidak langsung juga dapat membuka minda penduduk setempat dalam mengambil seberapa banyak peluang ekonomi di sebalik bertandang ke Dungun,” ujarnya.