JURULATIH Kuala Lumpur City (KL City) FC menganggap kemenangan tipis 1-0 berdepan Penang FC pada hari ini adalah lebih dari mencukupi kerana anak buahnya terpaksa bermain 90 minit dengan hanya 10 orang pemain.

Biarpun keadaan padang yang ditenggelami air di beberapa kawasan namun pemainnya tetap mampu mempamerkan aksi mengagumkan.

“Lebih dari mencukupi. Agregat 5-0 jika saya tidak silap. Satu perlawanan yang sukar. Satu perlawanan sukar kerana kami bermain dengan hanya 10 orang.

“Kita berjaya pertahankan kedudukan kita dan lebih manis lagi kita dapat clean sheet pada hari ini. Biarpun dengan keadaan hujan, pemain tetap memberikan persembahan mengagumkan,” ujarnya ketika sidang media selepas perlawanan pusingan 16 second leg Piala Malaysia yang diadakan di Stadium KLFA, Cheras semalam.

Mengulas tentang gol kemenangan yang dijelmakan penyerang sensasinya, Tchetche Kipre, dia menganggap pemain tersebut memiliki kemahiran luas dari kawalan bolanya.

Ditambah pula dengan ketajaman dan kelajuan di bahagian hadapan, Kipre membuktikan bahawa dia merupakan seorang penyerang berkualiti apabila berjaya memecah kebuntuan meskipun melakukan larian solo tanpa bantuan rakan di sisinya.

“Saya tahu kualiti yang dimiliki padanya. Saya selalu lihat apabila dia melawan Selangor sebelum ini. Saya tahu dia boleh pegang bola apabila di hadapan.

“Dia sangat laju dan mempunyai skil yang sangat baik. Dia boleh menembusi barisan pertahanan dan saya gembira dia mampu jaringkan gol pada hari ini,” katanya.

Pendekatan yang diterapkan Nenad Bacina adalah dengan bermain secara tersusun dan dia ingin menerapkan permainan yang matang.

Baginya, jika mereka menang besar sekalipun tetapi jika tiada permainan build up play yang menarik, dia tetap tidak menggemari corak permainan tersebut.

“Kita boleh melawan sesiapa sahaja. Saya beritahu pemain, saya ingin melihat permainan yang matang dan tersusun.

“Saya beritahu pemain kita pernah bermain di peringkat akhir Piala AFC dan Piala Malaysia dan kita pernah menang menewaskan JDT,  saya berpuas hati dengan mereka,” jelasnya.