ARKITEK Tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi berjaya mencatat nama sebagai penjaring dalam aksi Penang FC menentang Selangor FC dalam aksi Piala Harapan pada Sabtu malam.

Biarpun tewas 1-2 kepada Penang FC dalam aksi tersebut, Mukhairi berjaya meledak gol umpama torpedo yang berjaya mencuri tumpuan ramai.

Menggalas tugas selaku kapten pasukan Selangor, pemain berusia 21 tahun itu membalas kepercayaan pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe dengan menampilkan aksi cemerlang.

Minit ke-24 perlawanan menjadi saksi kepada kehebatan pemain berusia 21 tahun itu apabila meledak kencang dari luar kawasan 13 ela untuk memastikan Gergasi Merah ceria di hadapan dengan satu gol.

Keberanian serta ketepatan pemain itu merupakan sesuatu yang seharusnya diberi pujian kerana dengan usia muda tersebut, dia menunjukkan kematangan sebagai pemain muda yang perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun, jaringan tunggal Mukhairi belum cukup membawa Selangor FC menjulang Piala Harapan yang diadakan buat kali pertama apabila Sony Norde menjadi duri dalam daging pasukan Selangor FC dengan dua jaringannya yang berjaya membawa Penang FC merangkul kejuaraan sulung Piala Harapan 2023.