TIDAK mungkin kerana anda seorang, anda boleh berjaya, demikian menurut bekas pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei.
Mengenang detik kegemilangannya sewaktu bergelar pemain nombor satu dunia, anak lelaki jati Pulau Pinang itu, sebak sewaktu berkongsi kisahnya berjuang dalam dunia badminton.
“Tak mudah untuk saya 19 tahun di bawah BAM (Persatuan Badminton Malaysia)… daripada saya tidak ada apa-apa sehingga saya ada sesuatu (pencapaian).
“Terima kasih juga kepada peminat, rakyat Malaysia, penaja saya yang tidak pernah berputus asa seperti 100Plus dan Yonex, meskipun saya dibelenggu isu doping dahulu. Mereka terus memberi sokongan dan kata-kata semangat tidak seperti penaja lain yang lari,” kata Chong Wei, pada Majlis Memperkenalkan Patung Lilin dirinya, di JW Marriots, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan timbalannya Adam Adli Abdul Halim, Presiden BAM Tan Sri Mohamad Borza Zakaria dan bekas jurulatih yang membimbing Chong Wei.
Mengakui berbangga menjadi atlet Malaysia pertama mendapat pengiktirafan untuk dipaparkan sebaris ikon sukan dunia yang lain, seperti Cristiano Ronaldo dan David Beckham, Chong Wei tidak henti-henti berterima kasih kepada individu yang banyak membantunya.
“Tan Sri Norza (Zakaria) tidak pernah membiarkan saya sendirian, terima kasih kepada jurulatih Datuk Tey Seu Bock, Hendrawan, Datuk Rashid Sidek, Datuk Misbun Sidek yang kini di luar negara.
“Terima kasih kepada pelbagai pihak, fisioterapi dan ramai lagi. Malah saya berterima kasih kepada aunty yang sapu lantai di gelanggang BAM, setiap kali selepas kami berlatih aunty akan bersih dan kemaskan gelanggang, jika tidak tak mungkin saya akan berada di tahap yang saya capai,” ujarnya.
Bekas pemain nombor satu dunia itu pernah digantung daripada mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada 2014, gara-gara positif doping di Kejohanan Terbuka Denmark.
Akibat penggantungan itu, beliau yang berada di ranking nombor satu dunia jatuh ke kedudukan 182.
Bagaimanapun berkat dedikasi, dan sokongan semua pihak, dalam tempoh 11 bulan Chong Wei berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio.
Untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, pemain perseorangan hendaklah berada dalam kelompok 16 pemain terbaik dunia.
“Saya nak beritahu, jika tiada BAM tiada Lee Chong Wei,” katanya lagi.