KEMUNCULAN legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menimbulkan gemuruh penonton yang memenuhi Gimnasium Binjiang di suku akhir acara badminton individu Sukan Asia 2022, pada Khamis.

Chong Wei, yang duduk di tempat duduk VIP di Gimnasium Binjiang, berjaya membuatkan penonton bersorak lantang apabila kamera merakam kehadiran legenda badminton tanah air dan kemudian menyiarkannya di skrin besar semasa aksi suku akhir badminton Sukan Asia.

Kehadiran Chong Wei di Gimnasium Binjiang adalah untuk memberi sokongan kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia-Sooh Woi Yik apabila berdepan wakil tuan rumah Liu Yuchen-Ou Xuanyi pada suku akhir beregu lelaki badminton Sukan Asia Hangzhou.

Selepas keberadaannya diketahui, Chong Wei segera menjadi sasaran beberapa krew media yang mahu mengabadikan detik kehadiran legenda badminton Malaysia itu.

Perlawanan antara Aaron Chia-Sooh Woi Yik melawan Liu Yuchen-Ou Xuanyi berakhir dengan kemenangan rubber set, 21-18, 19-21 , 21-18.

Aaron-Wooi Yik kini berpeluang meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Mereka seterusnya akan menentang pemain nombor 3 dunia India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty untuk tempat ke final hari ini.