PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM), mengumumkan jurulatih skuad remaja kebangsaan, Lee Meng Yean, meninggalkan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Meng Yean, bekas pemain beregu wanita negara yang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersama Chow Mei Kuan disifatkan pemain yang setia dan cukup mengenang budi hingga meneruskan kerjaya sebagai jurulatih, selepas bersara daripada bergelar pemain.

Pengumuman daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai Lee Meng Yean meninggalkan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Jurulatih berusia 29 tahun berasal dari Melaka itu, pernah menjadi kapten Piala Uber 2020 mula dilantik sebagai jurulatih beregu wanita kebangsaan pada Februari tahun lalu.

Dia kemudiannya ditugaskan untuk membimbing pemain remaja negara pada Ogos lalu.

“Meng Yean sudah berkhidmat dengan penuh setia bersama Malaysia sebagai pemain dan kemudiannya selaku jurulatih.

Lee Meng Yean berpasangan dengan Chow Mei Kuan, pernah layak beraksi di Olimpik Tokyo.

“Kami berterima kasih di atas segala jasa dan pengorbanannya kepada negara sejak beberapa tahun lalu.

“Kami di BAM mendoakan yang terbaik untuk Meng Yean pada masa depan dan berharap dia akan terus menyumbang kepada sukan badminton negara,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Meng Yean berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang oleh BAM untuk berkhidmat kepada badminton Malaysia sebagai pemain dan jurulatih.

“Ia adalah satu penghormatan berpeluang memberi sumbangan kepada sukan ini dan saya tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu dalam kehidupan saya.

“Saya berterima kasih kepada BAM di atas semua sokongan yang diberikan selama ini dan mendoakan mereka terus berjaya bagi membangunkan bakat-bakat badminton yang baharu,” katanya.