BEKAS atlet renang para negara, Koh Lee Peng menegaskan untuk tidak menerima sebarang tawaran pekerjaan dan bantuan berbentuk kursus serta tapak perniagaan kerana lebih selesa berniaga barangan cenderamata di kaki lima.

Pemenang tiga pingat emas di Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2001 itu, berkata, dia lebih selesa berniaga di kaki lima kawasan Bukit Bintang, biarpun mengakui berdepan kesukaran hidup.

Bagaimanapun, aktivitinya berniaga di kaki lima itu mengundang reaksi pelbagai daripada ramai pihak terutamanya apabila rakaman video ketika dia berniaga, tular di media sosial sehingga menimbulkan kecaman terhadap Kementerian Belia dan sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), yang didakwa tidak mempedulikan nasib bekas atlet negara itu.

Mengulas mengenai situasi terbabit, Lee Peng, 50, berkata, dia tidak dapat mengawal kelakuan netizen.

Koh Lee Peng kini berdepan masalah bengkak pada kaki, dibawa Yakeb menjalani pemeriksaan percuma di Hospital Thompson, Kota Damansara.

“Saya tak boleh halang,” kata Lee Peng kepada media selepas menerima rawatan pemeriksaan kesihatan di Hospital Thomson, Kota Damansara, hasil kerjasama pihak hospital dan Yakeb, hari ini.

“Saya sudah cakap yang pandangan mereka lain, saya punya pandangan lain… janji saya tak tipu orang.”

Kisah Lee Peng kerap ditularkan netizen yang bersimpati dengannya apabila dilihat memakai jersi kebangsaan selain memperagakan pingat dimenanginya ketika menjalankan aktiviti perniagaannya.

Tindakan sedemikian secara tidak langsung menimbulkan pandangan negatif masyarakat terutama di laman media sosial, seolah-olah perjuangan bekas atlet itu diabaikan oleh pihak berwajib.

“Orang nak tular saya tak kisah. Saya tak malu… itu cerita benar. Saya berniaga pun saya pakai pingat. Nak viral, virallah… saya tak boleh buat apa,” katanya, yang mengakui beberapa kali menerima tawaran berkerja termasuk menjadi jurulatih.

“Ada orang tanya saya, kenapa ada tawaran tapi tak nak… saya kata, ada sebabnya. Kalau tiba-tiba budak itu ‘tenggelam’ macam mana? Tawaran ada, tetapi kalau saya tak minat, dipaksa pun tak guna.

“Saya juga ada menerima tawaran (diberikan) kedai, tapi kalau saya tak ada perniagaan, bagaimana saya nak teruskan hidup?. Yakeb biasa membantu saya. Saya tak kata mereka tak baik tetapi kalau orang tulis tak baik, saya tak boleh kawal.

“Saya tak tahu pandangan orang bagaimana, mereka punyai mulut saya tak boleh buat apa. Kadang-kadang saya kecewa, saya menangis… tuhan saja yang tahu. Saya tak boleh kawal orang punya mulut,” katanya.