PERAK FC sah mengumumkan penandatanganan pemain sayap dari Korea Selatan, Lee Tae-min, sebagai import Asia baru mereka.
Kehadiran Tae-min dijangka memberi dorongan yang signifikan kepada pasukan Perak FC dengan kebolehannya yang dinamik dan pengalaman dalam saingan bola sepak tempatan.
“Ini adalah pertama kali saya di Malaysia. Saya akan cepat menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya.
“Saya akan buat yang terbaik di atas padang demi Perak FC. Datanglah ke stadium dan beri sokongan kepada kami. Kejor Yob Kejor,” katanya dalam video terkini dimuatnaik media sosial rasmi Perak FC.
Tae-min bukanlah nama yang asing dalam arena bola sepak Asia. Sebelum menyertai The Bos Gaurus, dia telah menunjukkan kebolehan yang mengagumkan di beberapa pasukan di negara kelahirannya.
Dengan pengalaman dan kemahirannya yang luas, dijangkakan Tae-min akan membawa kesan yang positif kepada permainan dan prestasi Perak dalam saingan tempatan dan mungkin juga di persada antarabangsa.
ARTIKEL BERKAITAN : Perak FC bakal jadi destinasi baru Lee Tae-min
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan Tae-min, akan menceriakan kancah saingan Liga Super dengan penyertaan bersama pasukan kendalian Yusri Che Lah musim ini.
Selepas memerah keringat bersama Liga K2 Korea Selatan, Busan I-Park, Tae-min,20, telah membuat keputusan yang berani untuk melanjutkan kerjaya bola sepak profesional di Malaysia.