PEMAIN naturalisasi negara, Lee Tuck nyata berbangga dapat menyarung jersi Harimau Malaya dan dia berazam untuk terus beraksi dengan baik untuk memberikan kemenangan buat Malaysia dalam Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Dia nyata gembira dengan pengalaman dalam kem latihan yang dianggap sangat profesional serta baik dan sudah tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan pertama dalam kejohanan terbesar Asia Tenggara ini.

Tuck,34 juga selesa dengan peranan yang diberikan kepadanya oleh barisan kejurulatihan dan dia tidak merasakan umurnya sebagai satu alasan untuk dia tidak beraksi dengan baik dan membuktikan umur hanyalah angka.

“Saya sangat berbangga dapat menyarung jersi kuning ini. Perasaan pada masa ini sangat teruja dan saya mahu membantu pasukan dalam apa cara sekalipun dan berharap kami dapat ulangi keputusan dua perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Persiapan pasukan sangat bagus dan saya menggemarinya secara peribadi. Fasiliti dan barisan kejurulatihan semuanya baik dan profesional dan ianya adalah pengalaman yang cukup baik. Kami serius tentang sasaran kami tetapi kami menikmati proses ini dan tidak sabar untuk beraksi pada perlawanan pertama.

“Saya selesa dengan corak permainan yang diterapkan iaitu menyerang secara aggresif dan ianya menepati cara saya bermain bola sepak. Saya juga serasi dengan pemain lain dan sangat gembira dengan keadaan ini.

“Umur hanyalah nombor dan saya masih merasakan diri ini muda dan apa yang penting adalah kerja keras dan menjaga diri saya di luar dan dalam padang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin.

Sejak dinaturalisasikan, Lee Tuck sudah melakukan dua penampilan dan berjaya menjaringkan dua gol sekaligus meningkatkan lagi semangat dan keyakinannya untuk membawa nama Malaysia cemerlang dalam kempen kali ini.