DUA gol daripada pemain naturalisasi, Lee Tuck menyaksikan Kedah Darul Aman FC bangkit dari ketinggalan satu gol pada awal permainan untuk membenam Sabah FC 2-1 dalam aksi menarik Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat.
Pasukan tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan seawal minit kelapan apabila sepakan percuma bekas pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar ditanduk masuk Gabriel Peres untuk meletakkan Sabah FC dihadapan.
Perlawanan berlangsung agak panas selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan terutama Sang Kenari yang mahu mencari gol penyamaan hingga menyebabkan beberapa kekasaran berlaku.
LIGA SUPER 2023
FT: Kedah Darul Aman FC 2-1 Sabah FC
⚽ Lee Tuck 40', 72'
⚽ Gabriel Peres 8'#LigaSuper2023#PulunKedahPulun#RaduSabahRadu pic.twitter.com/Neany0FoKk— Flash Sukan (@FlashSukan) June 2, 2023
Aksi terpaksa dihentikan seketika pada minit ke-30 selepas Jailton Paraiba berlanggar dengan Bojan Ciger hingga terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Selepas Paraiba dikeluarkan, Sabah kehilangan rentak dan ini membuka peluang buat Lee Tuck menyamakan kedudukan 1-1 menerusi gol yang menarik ketika perlawanan babak pertama berbaki lima minit.
Beberapa pertukaran dilakukan kedua-dua pengendali bagi menambah sengat dengan Kedah dilihat lebih banyak menguasai permainan menerusi beberapa serangan berbahaya namun gagal menghasilkan jaringan.
Lee Tuck sekali lagi menggembirakan hampir 10,000 penyokong yang hadir apabila menolak masuk menewaskan Damien Lim di gawang Sabah selepas keadaan kelam kabut dalam kotak penalti yang berpunca dari hantaran lintang Manuel Hidalgo.
Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Kedah naik ke tangga keempat liga dengan 25 mata menggantikan Sabah yang turun ke tangga kelima kekal dengan 24 mata selepas berakhir pusingan pertama Liga Super.