AKSI cemerlang ditampilkan pemain tengah, Lee Tuck bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC telah menobatkannya sebagai Pemain Terbaik Liga Super PFAM edisi Jun 2023.
Anugerah tersebut merupakan anjuran Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang memberikan peluang kepada peminat untuk memilih pemenang.
Lee Tuck meninggalkan empat lagi pencabarnya iaitu Fernando Forestieri (Johor Darul Ta’zim), Ayron Del Valle (Selangor FC), Stefano Brundo (Sri Pahang FC) dan Mohd Nabil Ahmad Latpi (PDRM FC).
“Tahniah diucapkan kepada Lee Tuck daripada pasukan Kedah Darul Aman FC kerana terpilih sebagai Pemain Terbaik Liga Super PFA Malaysia edisi Jun 2023! Tahniah diucapkan.
“Terima kasih kepada para pengundi yang telah mengundi pemain yang dicalonkan untuk Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Super PFA Malaysia edisi Jun 2023,” menurut kenyataan PFAM.
Pemilihan Lee Tuck sebagai pemain terbaik itu nyata bukan perkara yang mengejutkan susulan aksi bertenaga dipamerkannya dalam membantu Kedah mencatatkan rekod kemenangan bersih dalam dua perlawanan Liga Super pada Jun termasuk meledak dua gol semasa menewaskan Sabah 2-1 di Alor Setar.
Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM kelolaan PFAM sebagai usaha mengiktiraf para pemain profesional di negara.
Proses pemilihan pemain dibuat oleh barisan panel terdiri daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek lima calon setiap bulan sebelum undian dibuka kepada peminat melalui www.pfam.my selama seminggu.