TARIKH keramat 31 Ogos 2022 pasti akan sentiasa diingati oleh pemain Sri Pahang FC, Lee Tuck apabila dia secara rasmi bergelar warganegara Malaysia selepas urusan naturalisasi berjaya dilengkapkan.
Tiada yang lebih indah buat Tuck yang menyambut Hari Kebangsaan ke-65 sebagai rakyat Malaysia dan dia berkongsi kegembiraan itu menerusi hantaran di laman Instagram peribadinya.
Menerusi hantaran itu, Tuck juga mengucapkan terima kasih kepada Pemilik, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah Sri Pahang FC yang banyak membantunya mendapatkan kerakyatan Malaysia.
Tidak ketinggalan dia juga berterima kasih kepada semua penyokong Tok Gajah beserta keluarga dan teman rapat yang sentiasa menyokongnya dalam proses ini.
Lee Tuck yang mula bermain di Malaysia pada 2017 bersama Negeri Sembilan mula mencipta nama bersama skuad Terengganu dari 2018 hingga 2020 dengan 57 penampilan dan 23 gol sebelum menyertai Sri Pahang pada 2021.
Kini pemain berusia 34 tahun itu menjadi pemain keempat dinaturalisasikan selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang dilihat mampu untuk membantu skuad kebangsaan beraksi dengan lebih baik.
Ruangan komen di laman Instagram peribadinya turut dibanjiri ucapan tahniah daripada rakan-rakan sepasukan serta rakan-rakan bola sepak yang berkongsi kegembiraan di Hari Kebangsaan ke-65 ini.