KEDAH Darul Aman (KDA) FC hari ini membuat pengumuman mengejut, mengesahkan pemain tengahnya Lee Tuck akan meninggalkan pasukan itu serta merta.
Menurut kenyataan Facebook kelab itu, selepas beberapa perbincangan dan pertimbangan bersama antara pengurusan kelab dan Lee Tuck, pihaknya mengumumkan persetujuan bersama mengenai pemergian Lee Tuck dari KDA FC.
“Hari ini, pihak pengurusan berhasrat untuk berkongsi dengan anda mengenai salah seorang pemain KDA FC, Lee Tuck yang telah memainkan peranan penting sebagai pemain tengah yang prolifik untuk kelab bola sepak Sang Kenari.
Sepanjang musim ini, Lee Tuck telah mempamerkan dedikasi yang tinggi, kemahiran yang luar biasa, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap prestasi KDA FC.
“Persembahan luar biasa beliau di atas padang telah meninggalkan kesan yang besar di hati peminat, dan sumbangan beliau kepada keputusan perlawanan pasukan akan sentiasa diingati dengan penuh memori indah dan terima kasih,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, seperti mana-mana perjalanan pemain bola sepak, peralihan adalah sebahagian dalam kerjaya seorang atlet.
“Keputusan ini telah dicapai dengan cara yang baik, dan kami menghormati keinginan Lee Tuck. Walaupun dia tidak akan lagi memakai jersi kelab ini, kami tidak ragu-ragu bahawa Lee Tuck akan terus bersinar dalam kerjaya masa depannya.
“Kami mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Lee Tuck atas khidmatnya yang luar biasa kepada kelab. Semangat, kerja berpasukan, dan kepimpinannya di dalam dan di luar padang telah memberi inspirasi kepada ramai pemain muda dan peminat,” katanya lagi.
Pada masa sama, pihak kelab akan sentiasa mengalu-alukan Lee Tuck dengan tangan terbuka setiap kali dirinya kembali melawat KDA FC.
“Kami tetap komited kepada visi kemajuan dan kejayaan berterusan KDA FC. Kami sedang giat berusaha untuk mengukuhkan skuad Sang Kenari, membawa bakat baharu, dan membentuk masa depan yang cerah untuk kelab ini.
“Namanya akan sentiasa terpahat dalam sejarah kelab bola Sang Kenari, dan kami yakin dia akan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam kariernya,” katanya.
Tidak pasti ke mana hala tuju baharu pemain naturalisasi negara selepas meninggalkan KDA FC yang pada musim lepas beraksi untuk pasukan Sri Pahang FC.