LEE Zii Jia mengakui prestasinya terganggu dengan isu membabitkan bekas jurulatihnya Indra Wijaya, namun mahu terus memberikan persembahan terbaik di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Terpilih memperkuat pasukan selaku pemain perseorangan lelaki utama negara, Zii Jia berkata, dia perlu memperbaiki prestasi untuk menghadapi kejohanan yang berlangsung dari 14 hingga 19 Februari itu.
“Saya orang jugak saya ada perasaan and i try my best utk setelkan benda ni.. apabila belum berakhir saya agak kecewa.
“Tapi ini satu cabaran buat saya, ia adalah satu proses,” kata Zii Jia, mengulas mengenai isu saman dari Indra Wijaya.
Mengulas mengenai sasaran separuh akhir ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di BAMTC, Zii Jia berkata, sasaran itu tidak menjadi masalah untuk dicapai.
“Itu bukan masalah kerana jika kita menduduki tangga kedua kumpulan, masih layak ke separuh akhir.”
Pada saingan itu, Malaysia berada satu kumpulan dengan India, Kazakhstan dan UAE.
Berdasarkan prestasinya ketika ini, Zii Jia enggan menganggap kebarangkalian pertemuannya dengan HS Pranoy kini di ranking kesembilan dunia atau Lakshya Sen (11) akan memihak kepada pemain India itu.
“Lawan India.. so far prepare semua ok. Lakshya juga tidak meyakinkan sangat, lebih kurang sama seperti saya.. akan looking forward,” kata Zii Jia.
Selain Zii Jia, BAM menamakan Leong Jun Hao memperkuat posisi perseorangan lelaki pada kejohanan yang memasuki edisi ketiga penganjuran itu.