“SELEPAS tewas set pertama, saya terfikir takkanlah kalah di pusingan pertama lagi!”
Itulah perkara bermain dalam kepala Lee Zii Jia ketika betukar gelanggang selepas tewas set pertama 19-21 ketika menentang Zhao Jun Peng di pusingan pertama Masters Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena.
Zii Jia berkata, dia amat lega apabila berjaya menterbalikkan keputusan apabila bangkit dalam dua set berikutnya 21-11, 21-14 dalam aksi yang berlanjutan selama 61 minit.
“Saya gembira kerana dapat mengatasi trauma (tewas di pusingan pertama), bertenang dan berikan persembahan terbaik pada set kedua dan ketiga… paling penting saya memenangi perlawanan hari ini,” kata Zii Jia mengakui dia masih cuba mengatasi trauma kekalahan di laman sendiri.
Menurutnya, Jun Peng sememangnya lawan yang sukar biarpun Zii Jia memiliki kelebihan rekod pertemuan 2-1.
“Pada pertemuan terakhir dia kalahkan saya, jadi perlawanan ini tidak mudah.
“Saya rasa, kebangkitan yang saya lakukan ini saya beroleh keyakinan dari Terbuka Thailand,” katanya.
Di pusingan kedua pada Rabu, Zii Jia akan menentang pemain meningkat naik dari India, Kiran George yang berjaya mengatasi pemain Jepun, Takuma Obayashi 21-16, 21-17.
“Bertemu pemain muda meningkat naik bukan mudah kerana mereka ini tiada tekanan dan tidak takutkan apa-apa.
“Bermain dalam fikiran mereka adalah mahu mengejutkan kita sebagai pemain pilihan dan dalam Top 10 dunia… ini cabaran yang perlu saya atasi.”
Selain Zii Jia, Leong Jun Hao turut meneruskan cabaran negara di pusingan kedua, selepas menybingkir seorang lagi pemain China, Lei Lan Xi 13-21, 23-21, 21-12.
Pemain kebangsaan itu akan berdepan pilihan ketiga Kejohanan, Li Shi Feng, juga dari China.