PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kembali ke kelompok tiga terbaik dunia, dalam kemaskini terbaharu ranking dunia dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kedudukan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu naik satu lagi anak tangga untuk menghuni ranking nombor tiga dunia.
Namun kedudukan itu bukanlah pencapaian terbaik Zii Jia yang pernah berada di ranking kedua dunia pada 17 Januari 2022.
Namun, pemain berusia 26 tahun itu, tidak beraksi dalam beberapa kejohanan sejak tersingkir di pusingan pertama Terbuka Jepun dua minggu lalu, dan kedudukan ranking Zii Jia naik disebabkan pemain Indonesia, Jonatan Christie kehilangan mata susulan pencapaian separuh akhir Terbuka China tahun lalu yang berlangsung pada minggu ke-36.
Jonatan jatuh daripada kedudukan nombor tiga ke nombor tujuh dunia.
Pemain China, Shi Yuqi kekal sebagai pemain nombor satu dunia manakala juara Olimpik dua kali, Viktor Axelsen di tempat kedua.
Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan sejak Februari lalu, jatuh tiga anak tangga di kedudukan ke-25 dunia.
Bagaimanapun, dengan Tze Yong memperoleh perlindungan ranking, dia tidak berdepan masalah untuk kembali beraksi dalam kejohanan utama berdasarkan kedudukan ranking terakhirnya di tangga ke-18.
Dalam acara beregu lelaki, pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik jatuh daripada nombor tiga dunia ke kedudukan kelima selepas kehilangan mata daripada pencapaian naib juara Terbuka China tahun lalu.
Beregu lelaki kekal acara terbaik buat Malaysia apabila empat pasangan dalam kedudukan 20 terbaik dunia.
Tiga lagi gandingan iaitu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang kini bergerak secara profesional di kedudukan ke-12, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (17) dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri (19).
Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masing kekal kedudukan nombor lapan dan sembilan dunia.