DI SEBALIK tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan Terbuka Malaysia, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mula menampakkan keserasian dengan corak permainan yang diterapkan jurulatihnya, Wong Tat Meng.

Selepas kira-kira enam bulan bersama, Zii Jia gembira dapat menterjemahkan corak permainan yang diterap Tat Meng ketika tewas kepada pemain China, Lu Guang Zu, semalam.

Pada aksi di Axiata Arena Bukit Jalil itu, Zii Jia bermula baik apabila memenangi set pertama 21-16 sebelum tewas 19-21, 15-21 dalam dua set berikutnya.

“Guang Zu bermain dengan baik tetapi secara keseluruhannya ada sesuatu yang positif dalam permainan saya.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya perlu terjemahkan semua yang jurulatih (Tat Meng) ajar ketika dalam perlawanan sebenar, kalau latihan banyak-banyak tetapi tidak keluar pun tidak guna juga.

“Namun, kali ini ada suatu perkembangan yang positif, apa yang jurulatih ajar saya ada keluarkan (cara permainan) cuma tidak konsisten dan masih belum cukup.

“Jadi, diharapkan saya boleh lebih konsisten mengikut apa yang jurulatih mahukan dalam kejohanan seterusnya,” katanya.

Tat Meng mula membimbing bekas juara Seluruh England pada Julai tahun lalu, menggantikan Indra Wijaya dari Indonesia yang meletak jawatan pada November 2022.

Dalam pada itu, ketiadaan Liew Daren yang memutuskan untuk meninggalkan Team LZJ baru-baru ini, menyaksikan Zii Jia kini mendapat bantuan empat rakan sepelatih, Ter Chun Long, Lee Shun Yang, Lim Chong Kim, Tan Choong Yen.

Katanya, meskipun jurang permainan berbeza antara dia dan empat rakan sepelatihnya itu tetapi dia merasakan sudah cukup untuk membantunya mendapatkan latihan berkualiti.

“Latihan dengan kejohanan tidak sama, setiap orang ada corak latihan yang berbeza. Setakat ini, saya berasa bagus dan jurulatih pun merasakan perkara yang sama, jadi tiada masalah untuk saya,” katanya.

Selepas ini, Zii Jia akan beraksi di Terbuka India dari 16 hingga 21 Januari ini dan dijadual membuka tirai saingan menentang pemain Kanada, Brian Yang di pusingan pertama.