LEE Zii Jia mahukan dua lagi akreditasi di Sukan Olimpik Paris 2024, bagi melengkapkan pasukannya di temasya sukan terbesar dunia itu.

Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkongsi perkara itu, ketika memperincikan butiran pertemuannya dengan jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kelmarin.

Menurut beliau, dua kuota tambahan kad akreditasi diminta Zii Jia itu, bagi membolehkan rakan sepelatih (sparring) dan juga staf sokongan iaitu ahli fisio menyertainya.

“Zii Jia beritahu, dia nak lagi dua kad akreditasi untuk pasukannya. Sebabnya mereka akan tinggal di luar perkampungan sukan.

“Kita akan usahakan untuk dia mendapatkan fisioterapi dan juga rakan sepelatih. Paling teruk pun mungkin kita boleh bagi kad untuk everyday pass,” kata, Hamidin menjelaskan usahanya sebagai CDM, cuba menyelesaikan masalah dihadapi Zii Jia.

Setakat ini, jurulatih Lee Zii Jia, Wong Tat Meng sudah memiliki akreditasi dan mahukan dua lagi pas untuk pasukannya.

Semalam, FLASH SUKAN melaporkan perseorangan wanita, Goh Jin Wei memohon tambahan kuota bagi membolehkan jurulatihnya, Nova Armada mendapatkan akreditasi ke temasya itu, namun hasrat itu tidak mungkin direalisasikan, selepas Hamidin mengesahkan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky akan memainkan peranan menggantikan tempat Nova Armada.

Ketika ini, Zii Jia hanya memiliki satu kad akreditasi untuk jurulatihnya, Wong Tat Meng namun memerlukan dua tambahan akreditasi untuk pasukannya.

Lee Zii Jia mahu dapatkan keputusan terbaik di Paris nanti.

“Secara keseluruhannya dia punyai keinginan untuk buat kejuatan walaupun dia tahu dia ranking ketujuh.

“Tapi dia katakan undian itu sangat penting dan suka atau tidak dia akan berdepan juga pemain handalan dari China.

“Jadi saya katakan kepada Zii Jia yang penting ketika ini adalah untuk melepasi peringkat suku akhir terlebih dahulu sebabnya apa saja boleh berlaku pada ketika itu.

“Zii Jia mempunyai impian yang tinggi dan ketika inipun dia berada dalam keadaan terbaik tapi saya nasihatkan dia untuk ambil satu perlawanan ke satu perlawanan dulu,” katanya.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 27 Julai hingga 5 Ogos ini di Porte de la Chapelle Arena dengan Zii Jia menjadi antara prospek pemburuan pingat emas pertama negara di temasya terbesar dunia itu.