KESELESAAN Lee Zii Jia menjadi keutamaan, ketika pemain itu turun beraksi dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) bermula Selasa.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Wong Choong Hann berkata, pihaknya belum memutuskan siapa yang akan bertanggungjawab berada di kerusi jurulatih ketika pemain nombor 4 dunia itu, ketika beraksi di kejohanan yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) 14-19 Februari.
Perbincangan lebih mendalam dari semasa ke semasa akan dibuat dan Chong Hann memberitahu, segala-galanya bergantung kepada keselesaan pemain itu.
“Kita tengok nanti, siapa yang dia selesa dan segala-galanya bergantung kepada kehendak Zii Jia. Apa yang saya boleh katakan, mungkin kita sama-sama (jurulatih BAM dan Liew Daren) duduk di kerusi belakang gelanggang, atau juga tidak perlu ada jurulatih di belakang,” kata Choong Hann.
Pada edisi ketiga BAMTC itu, Malaysia diletakkan satu kumpulan bersama India, Kazakhstan dan pasukan tuan rumah UAE, dijangka tiada masalah untuk mara ke separuh akhir, dengan India satu-satunya handalan yang boleh mengerah keringat pemain negara.
Skuad negara yang dibarisi 16 pemain terbaik akan memulakan saingan Selasa ini menentang skuad tuan rumah UAE, sebelum menentang India pada Rabu dan Kazakhstan, Khamis.
Juara dan naib juara setiap kumpulan akan mara ke suku akhir dan status juara kumpulan amat penting dalam memastikan pertemuan dengan lawan lebih mudah untuk ke separuh akhir.
Mengulas mengenai prestasi Zii Jia dalam kem kebangsaan, Choong Hann berkata: “Dia memberi komitmen yang baik untuk mencari rentak dalam perlawanan.
“Sebelum ini dia beritahu mahu fokus mencari rentak dan saya rasa ada kemajuan tetapi tempoh latihan pusat seminggu tidak lama namun cukup untuk dia mendapat elemen positif dan kita beri elemen diperlukannya seperti tempat latihan dan rakan sparring.”
Selain Zii Jia, BAM menyenaraikan Leong Jun Hao yang berada di ranking ke-66 dunia untuk memperkuat posisi perseorangan lelaki manakala perseorangan wanita dibarisi Goh Jin Wei (31) dan Wong Ling Ching (186).
Beregu lelaki pula diperkuat Aaron Chia-Soh Wooi Yik (2) dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (8), beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah (5) serta Teoh Mei Xing-Go Pei Kee (88).
Beregu campuran pula diperkuat gandingan keenam dunia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (48).
Choong Hann, mengetuai barisan kejurulatihan mengiringi pemain ke Dubai selain K Yogendran, Rexy Mainaky, Nova Widianto, Rosman Razak dan Liew Daren.
Pada edisi pertama kejohanan, 2017 di Ho Chi Minh, Vietnam, skuad negara berada dalam kumpulan B bersama Indonesia dan Sri Lanka, sekadar ke suku akhir sebelum disingkir China.
Edisi kedua di Hong Kong 2019 pula, Malaysia diletakkan dalam kumpulan D bersama China dan Macau dan sekali lagi tersingkir di suku akhir apabila tewas kepada Jepun.
Berdasarkan pemain yang disenaraikan kali ini, Malaysia, Jepun, Indonesia, India dan Taiwan membariskan skuad terbaik manakala China, Korea Selatan dan Thailand menurunkan barisan kedua.