KELIBAT Lee Zii Jia penting kepada negara dalam misi mempertahan kejuaraan pada pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Selangor bulan depan.
Aura positif pemain profesional lelaki negara itu, cukup signifikan dengan kejayaan pasukan lelaki negara, pada edisi lalu.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, meskipun masih bergelut dengan prestasi tidak menentu termasuk tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, pemain ranking ke-11 dunia itu tetap berada di tahap pemain perseorangan lelaki terbaik negara, ketika ini.
“Sebagai tuan rumah, kita mahu menampilkan pasukan terbaik dan untuk itu kita perlu memilih pemain yang terbaik.
“Jadi, Zii Jia adalah yang terbaik perseorangan. Dia juga memiliki rekod baik dalam kejohanan berpasukan dan ini sudah tentu akan memberi motivasi kepada pemain lain dalam pasukan,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di ABM.
Semalam, Zii Jia mengesahkan akan beraksi di BATC yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC) di Shah Alam dari 13 hingga 18 Februari ini, selepas menerima jemputan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, Zii Jia menganggap BAM memberi peluang kedua kepadanya untuk mewakili negara di laman sendiri dan ia tidak boleh disia-siakan.
Pada saingan BATC 2022, Zii Jia menjadi antara watak penting yang membantu pasukan mencipta sejarah muncul juara buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia difinal.
Selain Zii Jia, Rexy turut mengesahkan empat lagi pemain perseorangan lelaki terpilih, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe.
Bagi acara beregu, Rexy memaklumkan perbincangan semula akan diatur bersama barisan kejurulatihan termasuklah sama ada akan menyenaraikan pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atau sebaliknya.
Katanya, BAM pada awal turut menjemput pasangan profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bagi membarisi skuad kebangsaan tetapi kedua-dua pemain itu tidak dapat memberikan komitmen mereka.
“Saya sudah menghubungi jurulatih Rosman (Razak) dan memahami situasi mereka. Rosman memaklumkan yang kecederaan (lutut) Ee Yi masih belum pulih sepenuhnya dan enggan mengganggu perancangan awal mereka tahun ini iaitu menyertai empat kejohanan.
“Jika mereka bermain di BATC, bermakna tiada rehat untuk mereka dan ini dibimbangi akan mengundang risiko kepada kecederaan yang pernah dialami Ee Yi terutamanya mereka belum selamat untuk layak ke Sukan Olimpik,” katanya.