TIGA final daripada empat kejohanan terakhir disertai, menjadi petanda positif buat Lee Zii Jia menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara itu berasakan, dirinya beroleh lebih banyak keyakinan, selepas melangkah ke final Terbuka Australia.

“Ya, ianya perkembangan positif sebelum beraksi di Olimpik dan saya mempunyai tempoh enam minggu sebelum menyertai temasya sukan terbesar itu.

“Tumpuan selepas ini tentunya memanfaatkan tempoh berehat dan persiapan ke Paris nanti, malah penyertaan di Terbuka Australia ini juga pasukan saya tetapkan hanya jika saya tidak mengalami kecederaan,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Zii Jia kini hanya selangkah untuk meraih gelaran keduanya musim ini, selepas mengesahkan kemaraan ke final Terbuka Australia.

Pemain nombor lapan dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan pemain meningkat naik dari Chinese Taipei, Lee Chia Hao 10-21, 21-15, 21-10 pada aksi separuh akhir di Sydney Olympic Park.

Ia adalah kemenangan ketiga Zii Jia ke atas Chia Hao daripada enam pertemuan.

Esok (Ahad) bakal menjadi final ketiga Zii Jia musim ini selepas muncul juara Terbuka Thailand dan naib juara Masters Malaysia, bulan lalu.

Bekas juara Seluruh England itu, akan bertemu pilihan kedua dari Jepun, Kodai Naraoka bagi perebutan gelaran juara, esok.

Mengirinya ke final, beregu wanita profesional negara, Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien.

Lai Pei Jing yang berpasangan dengan Tan Kian Meng dalam beregu campuran tersingkir di separuh akhir, namun Pei Jing berpeluang memburu gelaran dalam acara beregu wanita, apabila dia yang bergandingan dengan Lim Chiew Sien mara ke final Terbuka Australia.

Pei Jing-Chiew Sien yang kali pertama bergandingan di pentas antarabangsa, lolos ke final selepas mengejutkan pilihan ketiga dari Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam, 21-13, 18-21, 21-14.

Mereka akan membuat perhitungan gelaran dengan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi.

Sementara itu, beregu lelaki meningkat naik negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian terpaksa akur tersingkir di separuh akhir selepas tunduk di tangan pilihan pertama dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 18-21, 9-21.

Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri terpaksa akur tewas di tangan pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu di separuh akhir Terbuka Australia.

“Kami bermula dengan agak baik di set pertama, kami bermain dengan permainan kami.

“Namun, di set kedua kami beraksi dalam keadaan tertekan, lawan banyak memberi tekanan selain kami melawan angin. Itu yang membuatkan kami banyak hilang mata,” kata Haikal.

Meskipun gagal ke final, pencapaian ke separuh akhir adalah yang terbesar dalam kerjaya mereka sejak digandingkan pada Ogos tahun lalu mengambil kira saingan Terbuka Australia bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500.

Nasib sama turut menimpa beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Pei Jing yang tewas kepada pilihan pertama dari China, Jiang Zheng Bang-Wei Ya Xin 11-21, 11-21 sekali gus menamatkan perjuangan mereka di Australia.