ESOK hari terakhir buat pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menandatangani menandatangani persetujuan komitmen (LOC) bagi menyertai Program Road to Gold (RTG) dan pastinya jawatankuasa program terbabit masih menanti-nanti jawapan pemain pemain nombor 11 dunia itu.

Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, persidangan video bersama Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ), akan diadakan esok bagi memuktamadkan perkara berkenaan.

Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam akan menggunakan persidangan video dengan Team LZJ esok, bagi mendapatkan kata putus sama ada Lee Zii Jia bersedia menyertai RTG atau sebaliknya. Lee Zii Jia ketika ini berada di Kumamoto, menyertai Masters Jepun.

Zii Jia ketika ini berada di luar negara dan dijadual menyertai saingan Masters Jepun di Kumamoto yang bermula esok.

“Memandangkan dia berada di luar negara ketika ini, kami akan mengadakan persidangan video bersama Zii Jia dan pasukannya untuk membincangkan dengan lebih lanjut.

“Kami akan memaklumkan perkembangan mengenai perkara ini selepas tarikh akhir (esok),” kata Stuart.

Sebelum ini, Stuart memaklumkan Zii Jia memohon diberikan masa untuk meneliti butiran perjanjian selepas pertemuan mereka yang berlangsung pada 3 November lalu.

Lee Zii Jia dan pasukannya kini berada di Kumamoto, Jepun.

Stuart ketika itu menegaskan bahawa tempoh masa yang diberi kekal sehingga 14 November bagi pemain terbabit memberikan jawapannya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa RTG, memaklumkan Zii Jia satu-satunya daripada 15 atlet yang tersenarai dalam RTG, belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan berkenaan.

Dia diberikan tempoh selama 14 hari sehingga 14 November bagi melengkapkan komitmen berkenaan.