LEE Zii Jia tidak menyangka dapat beraksi tenang sepanjang Sukan Olimpik Paris 2024, dan menyifatkan prestasinya yang layak ke separuh akhir diluar jangkaan.
Pemain perseorangan lelaki negara berusia 28 tahun itu berkata, tekanan di Porte de La Chapelle Arena sangat tinggi dan perkara itu yang menjadi penentu kepada kemajuan setiap pemain.
“Apa saya saya lihat, di Olimpik ini, semua pemain apabila turun ke gelanggang, kami mahu menang dan saya rasa kemenangan bergantung kepada sejauh mana ketenangan dan cara mengawal situasi serta tekanan.
“Saya sendiri tak menjangka dengan prestasi saya, saya terkejut bagaimana saya boleh setenang ini,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Menurutnya, lawannya di suku akhir, iaitu pilihan keempat dari Denmark, Anders Antonsen kelihatan terlalu bersemangat untuk menang sehingga memaksa dirinya melakukan unforced error.
“Saya simpati… di luar kami kawan yang baik dan berkongsi pelbagai perkara tetapi di gelanggang kami musuh kerana mewakili negara masing-masing.”
Pada perlawanan itu, Zii Jia tiada masalah menjinakkan Antonsen 21-17, 21-15 dalam masa 53 minit, biarpun lawannya itu memiliki rekod kemenangan 5-3 sebelum pertembungan suku akhir di Olimpik Paris.
Ditanya sama ada menggalas tekanan tinggi memburu pingat emas selepas tiga lagi harapan beregu kandas di suku dan separuh akhir, Zii Jia mengakuinya.
“Tekanannya saya rasakan sebelum mereka tersingkir lagi kerana ketika saya bermain di pusingan 16, mereka sudah beraksi di suku akhir, separuh akhir,” ujarnya.
Justeru, Zii Jia akan berdepan bekas juara dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang mengejutkan pilihan utama dari China, Shi Yuqi 21-12, 21-10.
Satu lagi aksi separuh akhir perseorangan lelaki esok, antara pilihan kedua, Viktor Axelsen dari Denmark menentang Laksya Sen dari India.