LEE Zii Jia menjadi satu-satunya atlet di bawah program Road to Gold yang tidak menggunakan khidmat sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN).
Pendedahan itu dibuat Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, yang berkongsi bentuk bantuan yang dihulurkan agensi terbabit kepada program RTG.
Menurutnya, Team LZJ sendiri tidak pernah meminta khidmat sokongan ISN kerana mempunyai pasukan sokongannya sendiri.
“Bagaimanapun, pemain profesional lain menggunakan khidmat ISN yang kami sediakan,” kata Ahmad Faedzal, ditemui selepas majlis perasmian Program ISN INSPIRE 2023, di Bukit Jalil.
Selain Zii Jia, atlet badminton profesional negara yang berada dalam program RTG dan menggunakan perkhidmatan ISN adalah beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, dua beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan kian Meng-Lai Pei Jing.
Begitupun, beliau berkata, pihaknya sentiasa sedia menghulurkan bantuan kepada mana-mana atlet RTG yang memerlukan khidmat mereka.
“Kita tetap berkomunikasi dengan Team LZJ, dengan jurulatih Wong Tant Meng, Rosman Razak dan bertanya apakah lagi boleh ISN bantu sehingga kita juga menghantar pasukan ke tempat latihan mereka.
“Kita ada pegawai bertanggungjawab berkomunikasi dengan pemain profesional dan mereka juga akan berbincang dengan jurulatih.
“Kita sangat komited dengan keperluan utnuk memastikan atlet kita layak ke Olimpik Paris, itu komitmen kami dalam RTG,” kata Faedzal lagi.
Menurutnya, di Copanhagen, Denmark ketika berlangsungnya Kejohanan Dunia ketika ini, seramai enam staf ISN bertugas mengiringi pasukan, tiga daripadanya untuk membantu pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan tiga lagi untuk pemain profesional.
Menurutnya, tiga staf ISN bersama BAM itu sudah lama diamalkan kerana tertakluk di bawah program Podium, yang terdiri daripada penganalisa prestasi, tukang urut sukan dan fisioterapi.