LEE Zii Jia tidak perlu menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mendapatkan bantuan dan sokongan daripada Program Road to Gold (RTG).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dalam jawatankuasa program RTG, tiada syarat yang mewajibkan atlet menyertai persatuan sukan kebangsaan bagi mendapat manfaat program perburuan emas di Sukan Olimpik Paris itu.

Sebelum ini, timbul spekulasi Lee Zii Jia akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan selepas Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyuarakan keterbukaan menerima kepulangan pemain perseorangan lelaki yang berada di ranking keempat dunia itu.

“Saya akan berjumpa dengan Zii Jia minggu hadapan, selepas berjumpa saya akan maklumkan butiran. Kita mahu pastikan setiap atlet yang ada peluang bantu Malaysia dapatkan emas di Olimpik diberikan sokongan mencukupi.

“Dalam bentuk apa bantuan itu, saya akan maklumkan selepas jumpa Zii Jia. Dalam RTG, struktur yang diberikan kepada atlet yang dikenal pasti, membabitkan bentuk sokongan berbeza antara atlet.

“Kita tidak letakkan syarat layak dapat sokongan mesti sertai persatuan sukan itu, kita tiada syarat sebegitu,” katanya, ditemui selepas melancarkan kempen mengumpul dana pasukan Footgolf Malaysia ke Piala Dunia.

Hannah Yeoh akan kongsikan keperluan Lee Zii Jia selepas pertemuan minggu hadapan.

Footgolf Malaysia memerlukan peruntukan RM500,000 untuk merealisasikan impian beraksi di Piala Dunia Footgolf di Orlando, Florida, Amerika Syarikat (AS) dan Hannah turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada persatuan itu.

Mengulas mengenai butiran bantuan dan sokongan kepada atlet tersenarai dalam program RTG, Hannah berkata, pengumuman bentuk bantuan kepada atlet akan diumumkan selepas beliau dan penyelaras program, Stuart Ramalingam berjumpa atlet.

Beberapa hari lalu, tular gambar Norza bertemu juara Asia itu dan bersahur di Sri Hartamas, sehingga timbul spekulasi dia akan kembali ke pangkuan BAM.

Begitupun, Norza pantas menafikan perkara itu dan menegaskan pertemuannya dengan Zii Jia tidak dirancang dan hanya satu kebetulan.