SETIAP hari, pemain akan berada di tahap kondisi berbeza apatah lagi ketika menyertai kejohanan bertaraf dunia.
Justeru, pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menerima kekalahan kepada Anders Antonsen dengan baik kerana dia yakin sudah mempamerkan aksi yang dia mampu hasilkan pada perlawanan itu.
“Sudah tentu saya perlu akui bahawa Anders pemain yang lebih baik hari ini, saya sudah cuba segala-galanya dan keputusan ini saya perlu terima kerana ini adalah sebahagian daripada proses,” kata Zii Jia, kepada SPO TV.
Pemain nombor 13 dunia negara itu, kandas di pusingan ketiga Kejohanan Dunia selepas tunduk kepada pemain Denmark yang berada satu tangga di atasnya dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 18-21, 17-21.
Meskipun tewas, Zii Jia menegaskan sekurang-kurangnnya dia mencapai sesuatu pada kejohanan kali ini.
“Memang sukar untuk menempuh saingan ini, tapi seperti saya katakan, setiap hari, kami pemain akan berada pada tahap kondisi berbeza dan ini apa yang saya ada hari ini… saya memberikan yang terbaik dan tiada apa untuk dikesalkan.
“Setidak-tidaknya saya masih mampu menewaskan seorang pemain dalam Top 10 dan suatu hari nanti saya akan berada di sana semula, saya akan lebih bersedia di kejohanan akan datang,” katanya.
Zii Jia menyingkir pemain nombor 5 dunia, Jonatan Christie pada pusingan pertama.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Zii Jia di Kejohanan Dunia adalah mara ke suku akhir pada 2019 dan 2021.
Selepas ini Zii Jia akan beraksi di Terbuka China 5 hingga 10 September depan dan Terbuka Hong Kong (12 – 17 September).