LEE Zii Jia perlu mencapai keputusan yang baik pada beberapa baki kejohanan musim ini, sekiranya mahu beraksi ke Jelajah Dunia Akhir 2024.
Pemain ranking ketujuh dunia itu, mahu buktikan dirinya masih mampu mencapai impian beraksi di Jelajah Dunia Akhir selepas persembahan terakhir selepas sekadar mara ke suku akhir Terbuka Arctic dua minggu lalu.
“Sebelum ini, saya katakan hanya mahu menempatkan diri di Jelajah Dunia Akhir, jadi saya perlu memberikan persembahan terbaik di Jepun (Masters Jepun) dan Shenzhen (Masters China),” katanya, selepas menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).
Zii Jia, 26, berasakan dia perlu menampilkan persembahan dan mendapatkan keputusan terbaik pada dua kejohanan berkenaan selepas bergelut dengan kecederaan buku lali selepas Terbuka Arctic.
Zii Jia yang kali terakhir beraksi di Jelajah Dunia Akhir 2021 di Bali, kini berada di ranking kelima dalam perlumbaan melayakkan diri ke kejohanan berkenaan harus berada dalam kelompok lapan terbaik untuk mencapai sasaran beraksi di Hangzhou.
Viktor Axelsen dari Denmark yang memenangi pingat emas Olimpik Paris, sudah menggenggam satu slot ke Jelajah Dunia Akhir 2024, manakala empat pemain di ranking teratas Jelajah Dunia, Anders Antonsen (Denmark), Chou Tien Chen (Taiwan), Kodai Naraoka (Jepun) dan Shi Yu Qi (China) juga seakan pasti layak berikutan mata yang diraih cukup tinggi.
Namun Zii Jia yang mengumpul 69,900 mata di ranking kelima, tidak jauh meninggalkan pesaing di bawahnya Lin Chun Yi (Taiwan) yang mengumpul 68,500 mata selain Koki Watanabe (Jepun) 67,530 mata.
“Sudah tentu dalam tempoh setahun setengah bersama jurulatih Wong Tat Meng banyak perubahan positif dapat dilihat. Buat masa sekarang tiada sebarang perubahan (mengenai struktur kejurulatihan).
“Jika ada sebarang perubahan saya akan beritahu,” katanya, menjawab pertanyaan mengenai masa depan jurulatihnya itu.
Dalam pada itu, Zii Jia berterima kasih kepada kerajaan di atas Shakam yang diterimanya semalam iaitu sebanyak RM300,000 selepas berjaya membawa pulang pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris.
“Terima kasih kepada Shakam di atas pemberian anugerah ini, ia memberi makna buat saya dan akan cuba membuat terbaik untuk menempatkan diri di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 selepas ini,” katanya.