TANPA kehadiran pemain ternama pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia tidak boleh dipandang enteng jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia selepas kejutan demi kejutan ditampilkan pada saingan bertaraf Super 500 itu.
Tersingkirnya pilihan ketiujuh, Chen Chou Tien dari Chinese Taipei di suku akhir hari ini, memberi amaran awal kepada pemain profesional negara itu.
Ini berikutan Zii Jia akan berdepan pemain meningkat naik, juga dari Chinese Taipei, Lee Chia Hao esok.
Chia Hao ke separuh akhir selepas mengejutkan seniornya, Chou Tien 22-20, 22-20, akan menjadi lawan Zii Jia di separuh akhir.
Terdahulu, Zii Jia yang juga pemain nombor lapan dunia, bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menyingkir wakil Jepun, Kenta Nishimoto 16-21, 21-12, 21-12 pada aksi suku akhir di Sydney Olympic Park.
Pertemuan terakhir antara Zii Jia dan Chia Hao menyaksikan lawannya itu berjaya menang dalam pertarungan tiga set pada saingan Terbuka Hong Kong pada September tahun lalu.
“Saya sudah beberapa kali menentang Chia Hao sebelum ini. Dia baru sahaja mencipta kejutan menewaskan Tien Chen iaitu seniornya.
“Sudah tentu dia berada pada tahap prestasi terbaik dan bersemangat tinggi ketika ini. Jadi, saya perlu berwaspada.
“Saya jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sengit, esok,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Bekas juara Seluruh England itu kini hanya selangkah lagi untuk menempah tiket final ketiganya musim ini selepas menjuarai Terbuka Thailand dan naib juara Masters Malaysia, bulan lalu.
“Saya memang sudah bersedia dari aspek fizikal dan mental untuk beraksi sehingga set penentuan menentang Nishimoto kerana memang menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar.
“Kami sudah beberapa kali bertemu, kami sudah mengetahui corak permainan masing-masing,” kata Zii Jia.