KELAB Hijaukuning.Com (HKC) melaporkan salah seorang legenda Hijau Kuning, Faridzuan Che Hamid, telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Alor Setar.
Difahamkan, Faridzuan kini sedang berdepan dengan masalah kesihatan yang memerlukan pembedahan segera.
“Info awal yang diterima, Faridzuan dikatakan mengalami masalah kesihatan dan akan menjalani pembedahan segera.
“HKC mengambil kesempatan ini untuk kita sama-sama menzahirkan kebersamaan dengan mendoakan semoga Faridzuan diberikan kesembuhan dan kesihatan seperti sediakala,” menurut kenyataan rasmi HKC di Facebook pada Jumaat.
Anak jati Pulau Tuba, Langkawi itu pernah meraih pencapaian terhebat dengan memenangi Piala Malaysia tahun 1993 dan menyarung jersi kebangsaan selama beberapa musim.
Sama-sama kita doakan yang terbaik buat Faridzuan dan keluarganya dalam menghadapi ujian ini.