KEDAH Darul Aman FC mencetuskan drama terbaharu biarpun kancah Liga Malaysia musim 2024/25 belum lagi bermula apabila terpalit pasukan pertama yang dipotong tiga mata gara-gara gagal melunaskan tunggakan penuh gaji musim lalu.
Perkara ini segera meraih perhatian daripada bekas pemain Kedah sendiri, Faridzuan Che Hamid yang menyatakan bahawa dirinya pernah timbul rasa ‘makan hati’ dengan pengurusan Kedah apabila isu kewangan terus melanda bekas pasukannya.
Menurut legenda berusia 53 tahun ini, Kedah FC perlu menggunakan peluang yang diberikan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan sebaiknya, kerana masih dapat menjejakkan kaki ke Liga Super walaupun terdapat hukuman sampingan oleh pihak MFL.
Dengan potongan tiga mata dan denda sebanyak RM 50,000 ke atas pasukan Kedah, Faridzuan lebih memandang ke sudut yang positif dalam hukuman yang diberikan itu.
“Ini satu perkara yang boleh dijadikan kebaikan, dimana pasukan kena lebih berusaha daripada sebelum jni, dan segi dalaman (pengurusan) pula, mereka kena jujur dalam apa jua perkara.
“Dalam masa yang sama, dengan tiga mata ini kita sepatutnya mungkin boleh menang liga tetapi mungkin asbab tiga mata ini sahaja, kita kalah. Itu menjadi satu kerugian dan beri impak besar juga kepada pasukan,” ujarnya semasa dihubungi oleh FLASH SUKAN.
Dalam perkembangan sama, selain ditolak tiga mata dan bayaran denda terhadap Kedah, mereka juga menerima tamparan hebat apabila Fifa telah menggantung pasukannya daripada membuat pendaftaran pemain baharu menjelang saingan musim ini.
Oleh itu, Faridzuan memberi pandangan bahawa skuad Hijau Kuning itu perlu memikirkan alternatif lain seperti mengasah bakat yang sedia ada, termasuk pemain-pemain muda bagi menguatkan lagi prestasi pasukan Kedah.
“Saya rasa pasukan Kedah tahun ini akan kelihatan underdog sedikit walaupun ada beberapa nama besar dalam skuad.
“Dan mungkin dengan kehadiran pemain berpengalaman seperti Syafiq Ahmad, dan beberapa lain mungkin dapat membantu untuk membimbing pemain muda untuk tambahkan sikap kompetitif dalam diri mereka. Kita kena libatkan pemain muda untuk saingan Liga Super yang akan bermula ini,” katanya yang bergandingan dengan Peter Niekietien dan Jan Janostak ketika zaman kegemilangannya bersama Kedah.
Selaku seorang yang masih sayang kepada bekas pasukannya, Faridzuan berharap agar mereka dapat mengekalkan ‘Top 5’ dalam liga pada musim 2024-2025 ini meskipun sedang berdepan pelbagai cabaran.
Untuk rekod, Kedah FC berada di kedudukan keempat liga pada musim lalu dan tidak mustahil mereka dapat terus menyambar kedudukan yang lebih tinggi, jika pihak pemain dan pengurusan bersatu hati dan mempergiat usaha demi kecemerlangan pasukan.