LEGENDA Manchester United dan Liverpool, Teddy Sheringham serta Glen Johnson memuji atmosfera dan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika aksi Battle of the Reds pada Sabtu.

Sheringham yang menjadi pengurus pasukan Manchester Reds jelas teruja dengan keadaan di dalam stadium dan memuji penyokong kedua-dua pasukan yang hadir kerana memberikan sorakan padu buat kesemua legenda yang beraksi.

“Saya sangat gembira melihat ramai yang hadir ke stadium dan saya berikan 10/10 berkaitan atmosfera di sini dengan stadium yang besar dan penyokong yang sentiasa bersorak dan buatkan saya berbangga untuk turut serta dalam perlawanan ini.

Teddy Sheringham gembira dengan atmosfera Stadium Nasional Bukit Jalil

“Keadaan padang juga cantik dan rata yang membuatkan kami dapat bermain bola sepak dengan baik. Tidak ada complaint berkaitan padang dan kami sedia untuk kembali untuk menebus maruah Manchester United,” katanya.

Perkara yang sama turut dipersetujui oleh pertahanan legenda Liverpool, Glen Johnson yang juga gembira dengan suasana stadium dan keadaan padang yang dianggap baik serta membantu mereka mencipta kemenangan.

“Ianya sangat baik kerana anda dapat mendengar penyokong berada di belakang anda setiap masa dan saya juga berikan 10/10 buat penyokong hingga kami berjaya mendapat keputusan yang dimahukan malam ini.

Glen Johnson anggap padang dalam keadaan yang baik

“Padang berada dalam keadaan yang baik dan kami berjaya buktikan Liverpool sentiasa lebih bagus dari Manchester United,” jelasnya.

Liverpool Reds berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 4-2 hasil jaringan hatrik Djibril Cisse dan satu dari Florent Sinama Ponggolle manakala dua jaringan Manchester Reds dihasilkan oleh Dimitar Berbatov dan Danny Webber.