BERTAHAN selama 31 tahun, satu pencapaian yang amat membanggakan namun ianya juga menunjukkan betapa negara ketandusan pengganti.
Demikian pandangan bekas ratu pecut negara, G.Shanti yang berasa kecewa selepas rekod kebangsaan 100 meter (m) miliknya masih belum dipecahkan sehingga kini.
Catatan 11.50 saat (s) yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 1993 mengekalkan Shanti yang kini berusia 57 tahun sebagai pemilik rekod kebangsaan.
Pada 2017, atlet pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli berjaya mencatat 11.36s di Kejohanan AGN League 7 di Pretoria, Afrika Selatan namun catatan itu tidak diiktiraf sebagai rekod kebangsaan kerana dibantu tiupan angin 2.5 kmj.
“Sedih jugalah (masih belum ada atlet pecah rekod kebangsaan), sepatutnya catatan saya itu sudah lama dipecahkan.
“Kalau ikut era sekarang, catatan 11.50s bukan apa-apa. Jadi, saya harap suatu hari nanti akan ada atlet yang berjaya memperbarui rekod saya ini,” kata Shanti yang ditemui baru-baru ini.
Dia yang memenangi pingat gangsa 100m di Kejohanan Asia di Fukuoka, Jepun pada 1998, mahu setiap atlet mempunyai kesungguhan serta kemahuan tinggi untuk berjaya dalam acara pecut dan tidak bergantung kepada bakat semata-mata.
Justeru, Shanti menggesa Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meningkatkan program pencarian bakat dan menghantar atlet berpotensi menjalani latihan di luar negara seperti pelari sensasi wanita, Shereen Samson Vallabouy.
“Kita kena berusaha lagi untuk mencari atlet berkaliber seperti Shereen dan hantar mereka ke luar negara bagi menjalani latihan dan menyertai kejohanan.
“Masa saya dulu, kami tidak ada peluang itu tetapi kami tetap mampu menunjukkan prestasi dan menghasilkan yang baik untuk negara. Memang masa itu misi kami hanya untuk mengharumkan nama Malaysia,” katanya.
Shereen, berpangkalan di Amerika Syarikat meleburkan rekod berusia 25 tahun milik Shanti dalam acara 200m selepas mencatat masa 23.33s di Kejohanan Olahraga Ed Murphey Classic 2023, Ogos tahun lalu.
Dia memadam rekod milik Shanti 23.37s yang dilakukan di Fukuoka pada tahun 1998.