PERTAHANAN legenda Itali Giorgio Chiellini telah mengumumkan bahawa dia akan bersara daripada arena bola sepak antarabangsa selepas perlawanan persahabatan menentang Argentina, Jun nanti.

Perlawanan itu dijangka akan dilangsungkan pada Jun di Stadium Wembley, England  adalah venue yang sama ketika Itali muncul juara Kejohanan Euro 2020 tahun lalu.

Pertahanan kental berusia 37 tahun itu mengetuai skuad Azzurri menewaskan Three Lions dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 120 minit permainan.

Chiellini pada awalnya ingin mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan selepas tamat Piala Dunia tetapi malangnya mereka gagal layak ke Qatar 2022 selepas tewas mengejut kepada Macedonia Utara ketika aksi kelayakan Mac lalu.

“Saya akan ucapkan selamat tinggal kepada The Azzurri di Wembley. Tempat di mana saya mencapai kemuncak kerjaya saya apabila memenangi Euro,” kata Chiellini kepada media Itali sejurus kemenangan Juventus.

“Saya mahu ucapkan selamat tinggal dengan memori yang indah. Itu pastinya adalah permainan terakhir saya dalam jersi Azzuri.”

Chiellini mempunyai 116 kap bersama skuad kebangsaan, berkongsi tempat kelima penampilan tertinggi bersama Andrea Pirlo. Hanya Daniele De Rossi, Paolo Maldini, Fabio Cannavaro dan Gianluigi Buffon mendahului senarai penampilan tertinggi ini.

Ciao Giorgio. You coming Rome.