CHEAH Liek Hou muncul juara dunia kali ketujuh selepas merangkul gelaran itu di Kejohanan Badminton Para Dunia di Tokyo, Jepun pada Ahad.
Liek Hou meraih gelaran ketujuh selepas mengatasi musuh tradisinya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-14, 21-12 pada aksi final kategori SU5.
Kejayaan itu membolehkan pemenang pingat emas Paralimpik 2020 itu merampas kembali kejuaraan yang kali terakhir memenanginya di Ulsan, Korea Selatan 2017, selepas kecundang di pentas separuh akhir pada edisi 2019 di Basel, Switzerland.
Pada edisi 2019, Liek Hou bukan sahaja terpaksa melepaskan gelaran dalam acara perseorangan lelaki SU5 selepas tewas kepada Dheva Anrimusthi, malah turut kehilangan statu pemain nombor satu dunia.
Sementara itu, pemain berusia 34 tahun itu bagimanapun gagal menambah koleki kejuaraan dalam final beregu lelaki hari ini.
Dia yang bergandingan bersama Faris Ahmad Azri tewas kepada gandingan Indonesia, Dheva-Hafizh Brilliansyah Prawiranegara 13-21, 12-21.
Dalam pada itu, satu lagi wakil negara di final beregu lelaki, Noor Azman Noorlan-Muhammad Ikhwan Ramli yang beragsi dalam kategori WH1-WH2 tewas kepada pasangan Jerman Rick Cornell Hellman-Thomas Wandschneider 11-21, 15-21.