KEKALAHAN kepada Sabah FC di laman sendiri menyaksikan Perak FC perlu menilai semula strategi mereka selepas aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Sabtu.
Ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah, mengakui kekalahan ini adalah satu pengajaran penting buat pasukannya yang sebelum ini mencatat tiga kemenangan berturut-turut.
“Kekalahan ini sebenarnya baik untuk kita, kerana ia membantu kami menilai semula apa yang berlaku. Tiga kemenangan lalu mungkin membuat pemain terlalu yakin, dan hari ini menjadi pengajaran berguna buat semua,” kata Yusri selepas perlawanan.
Yusri turut menyatakan bahawa kelekaan dan kegugupan pemain dalam mengawal set-piece lawan menjadi punca utama kekalahan.
Sabah FC berjaya memanfaatkan kekuatan fizikal pemain mereka seperti Gabriel, Pedro, dan Daniel Ting yang kerap kali menggugat pertahanan Perak melalui lontaran jauh serta sepakan sudut.
“Kita sudah lakukan kerja rumah, kita tahu ketinggian pemain Sabah dan bagaimana mereka bermain. Namun, mungkin kerana gugup dan tertekan, kita biarkan mereka melakukan tiga jaringan melalui set-piece. Ini amat mengecewakan,” jelas Yusri.
Tiga daripada empat jaringan Sabah hadir melalui bola mati, dan walaupun Perak sudah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi ancaman tersebut, mereka tetap terperangkap.
Menurut Yusri, Sabah memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan dan menjaringkan jaringan yang sukar ditepis oleh mana-mana penjaga gawang.
“Saya rasa semua jaringan Sabah sangat berkualiti, dan mana-mana penjaga gawang pun akan sukar menyelamatkan bola itu. Namun, apa yang menyedihkan, kita beri mereka peluang terlalu mudah,” ujarnya lagi.
Walaupun Perak berjaya bangkit di separuh masa kedua dan menyamakan kedudukan, kelekaan di 10 minit terakhir sekali lagi menghukum pasukan tuan rumah.
Yusri juga memberi kredit kepada Sabah yang menunjukkan keupayaan luar biasa, terutama dengan pemain tinggi lampai dan kualiti set-piece mereka yang sukar dihalang.
“Comeback kita di separuh masa kedua adalah bukti semangat juang pemain. Namun, kelekaan dan lontaran jauh daripada Daniel Ting sekali lagi membunuh semangat kita. Sabah memanfaatkan peluang ini dengan baik,
“Kami bukan pasukan yang begitu kuat, tapi kami perlu berada dalam kedudukan terbaik sebelum pusingan pertama tamat. Ini bukan tugas mudah, tapi kami akan bangkit,” tegas Yusri.
Perak kini menduduki tangga keenam Liga Super selepas hanya mengumpul 15 mata selepas 11 perlawanan. pasukan Perak akan melayan kunjungan Pasukan Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, 26 Oktober ini.